Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melihat pameran yang terdapa pada Majlis Pelancaran Kempen Hidup Aktif (WALK) turut hadir isterinya Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad di Oval Lawn, Setia City Park, Setia Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 03 NOVEMBER 2018

SHAH ALAM – Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan agar kakitangan pejabat kerajaan mahupun swasta memperuntukkan masa selama 15 minit melakukan aktiviti senaman sebagai budaya mengamalkan gaya hidup sihat.

Perdana Menteri berkata kakitangan boleh berbuat sedemikian dengan berehat seketika sekitar pukul 11 pagi di luar pejabat berhawa dingin.

“Saya syorkan semua pejabat kerajaan mahupun swasta pukul 11 pagi berhenti kerja (seketika) dan membuat senaman…kalau boleh di luar bilik penghawa dingin.

“Saya syorkan semua (kakitangan) keluar selama 15 minit buat senaman dan selepas itu balik kerja semula,” katanya ketika berucap melancarkan Kempen Promosi Hidup Aktif atau WALK (When Active Living Kicks) peringkat kebangsaan Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dr Mahathir turut menasihatkan rakyat mengamalkan tiga petua untuk kekal sihat iaitu mengelakkan pengambilan makanan berlebihan, tidak merokok dan menghindarkan pengambilan minuman beralkohol.

Beliau berkata tiada rahsia yang diamalkannya untuk kekal sihat pada usia 93 tahun kecuali sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat.

“Cara hidup kita mestilah selesa dan sesuai dengan kesihatan tubuh badan kita,” katanya.

Dr Mahathir turut berkongsi petua iaitu berhenti sewaktu sedang enak menjamah makanan kerana kecenderungan makan dan minum terlalu banyak boleh menyebabkan seseorang itu gemuk serta perut buncit.

“Jangan makan terlalu banyak…kalau makanan itu sedap berhenti makan,” katanya.- BERNAMA