KLANG – Tiga guru termasuk seorang guru besar sebuah sekolah rendah di Pandamaran di sini direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima suapan berjumlah RM5,000.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Klang, Aziman Mohd Yusof bagi membolehkan ketiga-tiga suspek disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Menurut sumber ketiga-tiga lelaki berusia 35 hingga 52 tahun itu ditahan di sebuah restoran di Taman Pendamar Indah 2, Pandamaran, kira-kira 3.25 petang semalam, dan SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM5,000 di lokasi kejadian.

Difahamkan seorang daripada suspek dikatakan meminta dan menerima wang suapan daripada pengadu, yang juga seorang guru, sebanyak RM5,000 sebagai balasan untuknya meminta guru besar menyokong permohonan pengadu bertukar ke sekolah lain.- BERNAMA

Tinggalkan Jawapan