Pelantikan Eddin Khoo iaitu anak kepada pakar sejarah, Tan Sri Khoo Kay Kim dalam jawatankuasa khas mengenai soal pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) telah mencetuskan tanda tanya dan pertikaian.
Pelantikan Eddin Khoo iaitu anak kepada pakar sejarah, Tan Sri Khoo Kay Kim dalam jawatankuasa khas mengenai soal pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) telah mencetuskan tanda tanya dan pertikaian.

KUALA LUMPUR – Pelantikan Eddin Khoo iaitu anak kepada pakar sejarah, Tan Sri Khoo Kay Kim dalam jawatankuasa khas mengenai soal pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) telah mencetuskan tanda tanya dan pertikaian.

Selain berteka-teki tentang pendirian Eddin berhubung UEC, sesetengah pihak juga mempersoalkan pengetahuannya dalam soal pendidikan negara.

Eddin ketika dihubungi Sinchew Daily berkata, beliau merupakan individu yang neutral dalam soal UEC dan akan meneliti soal pengiktirafan peperiksaan itu secara rasional.

Kata Eddin, beliau tidak mempunyai apa-apa latar belakang dalam soal UEC, satu keadaan yang memungkinkannya untuk mendengar maklum balas semua pihak serta merumuskan hasil yang memuaskan hati semua orang.

“Saya pernah menjadi wartawan dan menulis sejarah perkembangan pendidikan di negara ini. Oleh itu, saya boleh dikatakan sangat mengenali polisi pendidikan negara.

” Walaupun bidang saya sekarang ialah dalam kajian kebudayaan, tetapi isu kebudayaan adalah berkait secara rapat dengan isu pendidikan,” katanya.

Kementerian Pendidikan telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengumpul maklum balas daripada pelbagai pihak bagi memastikan keputusan akhir mengenai isu pengiktirafan UEC dapat diterima semua pihak.

Selain Eddin, dua anggota jawatankuasa yang lain ialah Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Tan Yew Sing dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab. Rahim.

Tiga individu tersebut akan melakukan kajian yang realistik dan objektif mengenai UEC.

Eddin mengakui statusnya sebagai anak kepada tokoh dalam bidang sejarah menyebabkan pelantikannya dipertikaikan, tetapi bapanya harus dipisahkan dan tidak dikaitkan.

“Beliau (Kay Kim) ialah beliau dan saya ialah saya.

“Walaupun ayah saya mempunyai pencapaian yang besar, tetapi kami mempunyai pandangan berbeza dalam isu tertentu,” katanya.

Tambahnya, Jawatankuasa Khas UEC harus menerima semua pandangan secara terbuka. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan