Datuk Seri Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendedahkan Datuk Seri Mustapha Mohamed ada bertemu dengannya semasa beliau masih memegang jawatan menteri di bawah kerajaan Barisan Nasional.

Ujar Mahathir, pertemuan itu dibuat dibuat hanya berkisar tentang perkembangan politik dan tidak menjurus kepada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak ketika itu.

“Masa beliau (Mustapa) di bawah kepimpinan Najib, dia pernah jumpa saya.

“Beliau (Mustapa) nampak tidak gembira dengan perkembangan pentadbiran Najib, dia begitu sebab ramai yang takut kepada beliau (Najib),” katanya di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya petang tadi.

Ahli Parlimen Jeli yang lebih dikenali sebagai Tok Pa itu menyertai Bersatu pada 26 Oktober lalu, selepas keluar daripada UMNO pada 18 September lalu.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, keputusannya untuk menjadi anggota Bersatu dibuat setelah melakukan penelitian selama beberapa minggu sebagai Ahli Parlimen bebas dan perkembangan politik semasa.

Ekoran daripada itu, terdapat desas desus yang mengatakan terdapat kemungkinan 40 lagi Ahli Parlimen UMNO akan keluar parti kerana menyatakan hasrat untuk menyertai Bersatu. -MalaysiaGazette