SEREMBAN — Usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam menjamin kesejahteraan rakyat dizahirkan melalui pembentangan Belanjawan 2019, semalam.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata belanjawan yang bersifat ‘merakyatkan bajet’ itu, tetap menitik beratkan kebajikan rakyat meskipun dalam keadaan negara berdepan beban hutang negara yang tinggi.

“Pembentangan bajet semalam dalam masalah negara sekarang menghadapi hutang negara namun ia satu bajet yang baik, memberi banyak insentif dan pertolongan untuk rakyat… merakyatkan bajet.

“Apa sahaja yang dibentangkan bergantung kepada keadaan ekonomi sekarang, kita sudah lakukan yang terbaik dan apa yang adalah untuk rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2018 di Pusat Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir Setiusaha Kerajaan Negeri Dr Razali Ab Malik, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nicole Tan Lee Koon dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri M. Ravi.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata belanjawan ini juga menunjukkan kerajaan boleh dan mampu meneruskan segala insentif walau dalam keterbatasan.

“Segala insentif itu membanggakan… taska dapat RM10 juta, i-SURI dapat RM45 juta… bagaimana kita lihat Menteri Kewangan cuba beri apa yang kita mohon dan kerajaan yang ada sekarang cuba berikan yang terbaik,” katanya.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 yang bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’ di Dewan Rakyat, semalam memperuntukan RM10 juta untuk menambah 50 Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di bangunan Kerajaan ke arah meringankan bebanan kerja ibu yang bekerja.

Kerajaan juga menurut Lim, memperuntukan RM45 juta bagi skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-SURI untuk golongan suri rumah di bawah program e-Kasih.

Pada majlis itu, Dr Wan Azizah turut merasmikan aplikasi maya mykafeTEEN iaitu aplikasi mesra remaja hasil kerjasama United Nation for Polulation Fund dan LPPKN sebagai usaha terbaharu mendidik dan memberi khidmat sokongan kepada remaja khususnya berkaitan isu kesihatan reproduktif.

Beliau juga merasmikan Pusat Keluarga Bergerak (bas) yang dijenamakan sebagai ‘Kitakan Keluarga’ iaitu sebuah coaster yang diubahsuai menjadi klinik bagi perkhidmatan saringan kesihatan keluarga, perancang keluarga, papsmear, urutan Mamacare, PapaCare, kembara kaunseling serta program interaktif remaja kafeTEEN. – BERNAMA