KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menggugurkan tiga pemain bagi melengkapkan senarai 23 pemain ke Kejuaraan Piala Bola Sepak Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 yang bermula Khamis ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan tiga pemain berkenaan adalah pemain pertahanan kanan, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dari pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) serta dua pemain tengah, Nor Azam Abdul Azih (Pahang) dan Azzizan Nordin (Sabah).

Cheng Hoe menggugurkan tiga pemain berkenaan selepas aksi persahabatan di antara Malaysia dan Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi yang menyaksikan Malaysia menang 3-0.

Sebelum ini, bekas pengendali Kedah itu menyenaraikan 26 pemain untuk menjalani sesi latihan pusat skuad Harimau Malaya yang bermula sejak 24 Oktober lalu.

Daripada 23 pemain yang disenaraikan kali ini, lapan pemain adalah mereka yang pernah beraksi pada edisi 2016 yang dihoskan bersama Myanmar dan Filipina adalah Ahmad Hazwan Bakri, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Shahrul Mohd Saad, Nazirul Naim Che Hashim, Mohd Syazwan Zainon, Zaquan Adha Abd Radzak, Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat.

Khairul Fahmi dan Norshahrul Idlan pula pernah membantu Malaysia muncul juara buat pertama kali pada edisi 2010 yang dihoskan bersama oleh Indonesia dan Vietnam.

Piala Suzuki AFF 2018 tampil dengan format baharu saingan peringkat kumpulan iaitu tanpa tuan rumah bersama yang menyaksikan setiap pasukan kali ini akan dapat beraksi dua perlawanan di tempat sendiri dan dua perlawanan di tempat lawan.

Malaysia telah diundi dalam Kumpulan A bersama Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Laos manakala Kumpulan B dibarisi juara bertahan Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura dan Timor-Leste yang menang perlawanan kelayakan dengan Brunei.

Malaysia bakal membuka kempen bertemu Kemboja di Stadium Olimpik Kemboja di Phnom Penh pada 8 November sebelum menanti kunjungan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 12 November ini.

Skuad Harimau Malaya akan meneruskan saingan menentang Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi pada 16 November ini sebelum menanti kunjungan Myanmar pada aksi terakhir Kumpulan A di Bukit Jalil pada 24 November ini.

Senarai Akhir 23 pemain:

Penjaga gol:
Farizal Marlias (JDT); Khairul Fahmi Che Mat (Melaka); Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (Perak)

Pemain Pertahanan:
Aidil Zafuan Abd Radzak, Adam Nor Azlin (JDT); Shahrul Mohd Saad, Amirul Azhan Aznan, Nazirul Naim Che Hashim (Perak); Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak, Muhammad Irfan Zakaria (Kuala Lumpur); Muhammad Syahmi Safari (Selangor)

Pemain Tengah:
Mohamed Syamer Kutty Abba (JDT); Muhammad Akram Mahinan (Kedah); D. Kenny Pallraj (Perak)

Pemain Sayap:
Muhammad Safawi Rasid (JDT); Mohd Syazwan Zainon, Muhammad Akhyar Abdul Rashid (Kedah); Mohamadou Sumareh (Pahang)

Penyerang:
Ahmad Hazwan Bakri, Muhammad Syafiq Ahmad (JDT); Zaquan Adha Abd Radzak (Kuala Lumpur); Norshahrul Idlan Talaha (Pahang); Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi (Nakhon Ratchasima)

  • MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan