Foto Times Now.

CARDIFF – Suasana penuh emosi menyentuh pemain Leicester selepas menghadiahkan kemenangan 1-0 penuh emosi pagi tadi.

Malah ada yang mengalirkan air mata ketika mereka dan kakitangan pasukan bertafakur seminit di tengah padang sebelum sepak mula.

Ia merupakan situasi terlalu sukar untuk ditangani buat kelab yang masih berkabung itu memberi penghormatan kepada mendiang Vichai Srivaddhanaprabha.

Leicester akan terbang ke Thailand bagi menghadiri upacara pengebumian pemilik kelab itu.

Jutawan Thailand Vichai antara lima yang terkorban apabila helikopter mereka terhempas di luar Stadium King Power selepas perlawanan menentang West Ham Sabtu lalu.

Biarpun perlawanan itu lebih lebih tertumpu kepada penghargaan buat pengerusi Leicester itu tetapi kemenangan tipis bekas juara Liga Perdana Inggeris berkenaan melonjak mereka ke tangga ke-10.

Gol hadir selepas 10 minit babak kedua bermula apabila pemain sayap Demarai Gray meledak gol kemenangan menewaskan penjaga gol Neil Etheridge selepas mendapat umpanan rendah daripada Ben Chilwell. – MalaysiaGazette