Reezal Merican Naina Merican.
Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berpendapat, banyak perkara yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) diteruskan dalam Belanjawan 2019.

Bekas Menteri Luar itu menyifatkan tindakan itu sangat bagus, memberikan gambaran ada ikhtiar dan usaha baik kerajaan terdahulu diteruskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH)

Jelas beliau, antaranya Bantuan Sara Hidup (jelmaan BR1M) diteruskan, belanja bersesuaian untuk sektor kesihatan, perhatian lebih bersungguh kepada kelompok B40 dan usaha latihan pambangunan kemahiran melalui Yayasan Peneraju.

“Ini semua legasi kerajaan lama dan tak ada idea baru. Beberapa kelemahan nyata, ianya tertumpu kepada perkara berikut seperti Kerajaan gagal laksana janji tiada bayaran PTPTN kepada mereka yang berpendapatan kurang RM4,000 dan ini pengkhianatan janji paling tinggi.

“Tiada skim khas safety net kepada kelompok petani, pekebun kecil, penternak yang diperuntukkan lebih RM6 bilion dalam bajet 2018. Ini akan ada kesan langsung kepada kelompok ini.

“Penumpuan dalam industri halal terlalu kecil. RM1 bilion dalam bajet 2018; hanya RM100 juta kali ini. Malaysia akan hilang “niche” dalam industri ini.

“Peruntukan Tekun hanya RM100 juta (RM500 juta dalam bajet 2018). Ruang yang semakin sempit untuk mendapat bantuan perniagaan di peringkat akar umbi,” katanya berkongsi pendapat pada laman Facebook miliknya.

Reezal yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, secara keseluruhan, belanjawan ini mengesahkan kebergantungan berlebihan kepada pendapatan petroleum.

Tambahnya, reformasi cukai tidak mampu mengganti kekurangan sumber memansuhkan GST dan hakikat yang tidak mampu dinafikan.

“Belanjawan 2019 saya sifatkan tidak memandang jauh ke depan. Belanjawan begini tidak mampu “merangsang” pertumbuhan ekonomi malah jika tidak diurus baik boleh “merencatkan” pertumbuhan.

“Saya menjangkakan belanjawan ini memerlukan semakan semula dan pengubahsuaian di tahun 2019 – setidaknya menjelang suku kedua tahun hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan