Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris menyifatkan rundingan antara kedua-dua pemimpin itu sebagai platform paling tepat susulan pengumuman mengenai bon itu pada pembentangan Belanjawan 2019, Jumaat lepas.
Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris menyifatkan rundingan antara kedua-dua pemimpin itu sebagai platform paling tepat susulan pengumuman mengenai bon itu pada pembentangan Belanjawan 2019, Jumaat lepas.

TOKYO – Rundingan lanjut mengenai bon Samurai RM7.4 bilion yang ditawarkan untuk dijamin oleh kerajaan Jepun kepada Malaysia, dijangka dibincangkan dalam mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatannya, Shinzo Abe pada Selasa ini.

Dr Mahathir akan melakukan lawatan kerja selama tiga hari ke Jepun, mulai esok.

Ketika menjelaskan perkara itu, Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris menyifatkan rundingan antara kedua-dua pemimpin itu sebagai platform paling tepat susulan pengumuman mengenai bon itu pada pembentangan Belanjawan 2019, Jumaat lepas.

“Saya menjangkakan itu salah satu topik perbincangan kedua-dua pemimpin berkenaan dalam mesyuarat dua hala pada 6 November ini. Ada banyak isu yang akan disentuh seperti ekonomi, perdagangan dan pelaburan. Isu mengenai kredit yen juga tidak kurang pentingnya,” katanya kepada wakil media Malaysia di sini, hari ini.

Kerajaan Malaysia telah merakamkan penghargaan kepada kerajaan Jepun di atas kesudian menawarkan jaminan penerbitan bon Samurai sehingga ¥200 bilion (RM7.4 billion) yang bertempoh 10 tahun.

Ketika membentangkan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan Lim Guan Eng turut menyifatkan tawaran itu sebagai mencerminkan keyakinan terhadap pentadbiran dan kepimpinan Dr Mahathir.

Penerbitan bon Samurai dalam denominasi yen itu akan dijamin oleh Japan Bank of International Cooperation pada kadar kupon 0.65 peratus dan dijangka diterbitkan sebelum Mac tahun depan.

Mengulas selanjutnya, Ahmad Izlan berkata Dr Mahathir dan Abe juga berkemungkinan besar akan membincangkan mengenai projek kereta nasional ketiga serta Dasar Pandang Ke Timur dalam mesyuarat dua hala tersebut.

Selain itu, dalam kunjungan kali ini, Dr Mahathir akan turut menyampaikan ucap tama mengenai keadaan semasa di Malaysia serta jangkaan pelaburan dari Jepun, kepada kira-kira 600 individu korporat dan kapten industri negara itu di acara Persidangan Bersama dan Forum Perniagaan Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (Majeca) dan Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia (Jameca).

“Ia (persidangan itu) akan diadakan selepas berlangsungnya mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Jepun. Dr Mahathir akan membincangkan peluang pelaburan di Malaysia dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.

Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia.

Bagi Jepun pula, Malaysia adalah rakan dagang kesebelas terbesar di dunia dan keempat dalam kalangan negara ASEAN selepas Thailand, Vietnam dan Indonesia.

— BERNAMA