Unoversiti Shenzhen

BEIJING – Tindakan sebuah universiti di selatan Shenzhen menghantar keputusan peperiksaan kepada ibu bapa menjadi igauan ngeri kepada para penuntutnya.

Isu itu menjadi hangat apabila para penuntut Universiti Shenzhen berkongsi cerita itu melalui laman sosial WeChat.

Menurut mereka, Universiti Shenzhen telah meminta para penuntut memberi alamat ibu bapa mereka dengan alasan keselamatan.

Tetapi, akhirnya mereka mendapat tahu bahawa pihak universiti mengirimkan keputusan peperiksaan kepada ibu bapa mereka, menurut laporan Shenzhen Evening News.

“Universiti Shenzhen telah menghantar keputusan peperiksaan kepada ibu bapa saya. Saya tidak pasti bagaimana reaksi mereka apabila mendapati saya mengambil subjek seksologi,” ujarnya.

Bagaimanapun, akhbar itu berkata, bukan semua ibu bapa menerima keputusan anak masing-masing melalui pos.

Selasa lalu, Universiti Shenzhen berkata, ia boleh menghantar laporan gred kepada ibu bapa pelajar dalam melalui halaman rasmi Weibo.

“Jika kami menghantar keputusan ke rumah pada masa hadapan, apa pendapat anda?” katanya dalam postingnya yang kemudian dipadamkan.

Pengulas media sosial menjawab bahawa kolej-kolej lain di China, seperti Universiti Sun Yat-sen di Guangzhou, Universiti Nanchang dan Universiti Farmasi Guangdong menghantar keputusan peperiksaan kepada ibu bapa sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Manakala, Yang Dongming, bekas pengarah akademik di East China Jiaotong University, memberitahu laman berita NetEase bahawa kolej itu telah menghantar keputusan peperiksaan kepada ibu bapa sejak dua dekad yang lalu.

“Jika gred pelajar tidak begitu bagus, mereka pasti akan mengalami tekanan selepas ibu bapa menerima keputusan mereka. Tetapi pelajar universiti adalah individu yang matang dan kami berharap tekanan ini boleh menjadi motivasi untuk pembelajaran mereka,” kata Yang. – MalaysiaGazette