Masalah hutang dan isu peribadi merupakan motif pembunuhan pembantu tadbir Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sebelum mayatnya cuba dibakar di rumahnya pada Jumaat malam.
Masalah hutang dan isu peribadi merupakan motif pembunuhan pembantu tadbir Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sebelum mayatnya cuba dibakar di rumahnya pada Jumaat malam.

KUANTAN – Masalah hutang dan isu peribadi merupakan motif pembunuhan pembantu tadbir Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sebelum mayatnya cuba dibakar di rumahnya pada Jumaat malam.

Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata siasatan mendapati mangsa M Suhairi A Wahab, 35, bertengkar dengan suspek seusianya di rumah mangsa di Taman Pandan Indah di sini, sebelum mayatnya ditemukan.

“Mangsa dipercayai mendesak suspek yang bekerja sendiri untuk membayar hutang sehingga berlaku pertengkaran.

“Suspek juga dipercayai mengambil telefon bimbit mangsa selepas kejadian dan menghantar pesanan kepada rakan serumah mangsa supaya tidak mengunci pintu rumah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Zakaria berkata suspek yang ditahan pada petang semalam di Sungai Karang Darat di sini, kini direman sehingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, media melaporkan mayat M Suhairi ditemukan di atas tilam di bilik utama rumah itu, dalam keadaan ditimbuni kain selepas bomba memadamkan kebakaran di bilik tersebut.

Bedah siasat mengesahkan terdapat kemungkinan mangsa dipukul dengan objek keras ekoran kecederaan di kepala dan muka, selain kesan terbakar pada bahagian kiri badan.

Selain suspek utama, polis turut menahan rakan serumah mangsa yang berusia 34 tahun yang berasal dari Kuala Nerang, Kedah bagi membantu siasatan.

— BERNAMA