Hishamuddin Abdul Karim
Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Hishamuddin Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) hanya akan memberi peluang kepada pihak tertentu yang mahu mengubah landskap politik Malaysia, kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Malaysia, Hishamuddin Abdul Karim.

Kerajaan Pakatan Harapan tidak patut mengubah corak acuan negara ini yang juga masih perlu diusahakan dalam mengimbangi kepentingan pelbagai kaum.

“ICERD jelas sekali membuka ‘kotak pandora’ apabila bakal memberi ruang kepada pihak yang kuat berusaha sejak sekian lama mahu mengubah landkap politik negara ditunjangi Melayu, Islam dan Beraja.

“Antaranya, Perkara 153 yang menyentuh kedudukan istimewa Melayu dan anak negeri Bumiputera Sabah dan Sarawak akan segera dicabar.

“Malaysia masih berada dalam keadaan di mana kerajaan perlu untuk mengimbangi antara kepentingan umat Melayu Islam dengan bukan Melayu. Jika selama ini kita berjaya mengekalkan keamanan dan kestabilan politik akomodatif menerusi acuan sendiri, maka mengapa perlu tunduk kepada telunjuk tali barut dengan meratifikasi ICERD?,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah Hishamuddin, Pakatan Harapan sepatutnya fokus terhadap cara untuk menunaikan semua manifesto berbanding meratifikasikan ICERD.

“Ini menunjukkan PH begitu angkuh membelakangkan prinsip dan juga penghormatan kepada institusi beraja yang merupakan tiang seri negara kita. Persoalan juga, dalam keadaan begitu banyak janji Manifesto PH yang belum dan gagal ditunaikan, mengapa terburu-buru untuk menandatangani ICERD secepat ini?

“Sehubungan dengan itu, kami mendesak Kerajaan PH menghentikan segera usaha ini kerana ia bakal menggugat perpaduan, keharmonian, keselamatan dan keamanan negara. PH perlu sedar, sikap degil mereka hanya akan mengundang bantahan keras rakyat atas cinta mereka mempertahankan negara ini,” menurutnya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan