Datuk Jamal Abdillah. foto AFIQ RAZALI, 01 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Datuk Jamal Abdillah masih menaruh harapan menambah zuriat biarpun isterinya, Zai Izzati Khairuddin, 24, sudah tiga kali mengalami keguguran sejak setahun lebih menjalani alam rumah tangga.

Jamal, 59 berkata, dia kini membawa isterinya mendapatkan rawatan pakar bagi menguatkan rahim di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

“Kami belum ada rezeki zuriat lagi kerana isteri sudah tiga kali keguguran.

“Saya sudah membawa dia berjumpa pakar untuk mendapatkan rawatan dan kuatkan rahim,” katanya baru-baru ini.

Jamal ditemui pada sidang media konsert Duo Lagenda Datuk M Nasir dan Datuk Jamal Abdillah yang bakal berlangsung pada 20 hingga 23 Disember ini di Panggung Sari Istana Budaya.

Izzati yang berasal dari Kulim, Kedah dan Jamal bernikah di Ipoh, Perak pada 1 April tahun lalu.

Ia merupakan perkahwinan keempat buat penyanyi lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu.

Sebelum ini, Jamal berkahwin dengan Basariah Abdul Latiff, Noraina Mohd Yusof dan Fatimatuzahrah Samad.

Dia kini memiliki dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 17 dan Ahmad Zaki Yamani, 11.

Berkongsi tentang kehidupan rumah tangga, Jamal berkata, dia banyak menghabiskan masa di rumah dengan lebih tenang dan teratur.

“Sekarang pun sudah tidak sempat ke gimnasium untuk menjaga kesihatan dan stamina. Cuma kadang-kadang buat latihan ringan di atas alatan senaman treadmill.

“Seperti orang lain badan saya makin berisi, hidup lebih tenang dan semuanya teratur sahaja,” ujarnya tersenyum. – MalaysiaGazette