Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.
Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Nazri Aziz bersetuju kekalahan gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu kerana skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya bersetuju dengan YB Khairy (Khairy Jamaluddin). Skandal itu berlaku dan Kabinet hanya mengetahui semua keputusan selepas isu itu meletup di media,” kata bekas Menteri Kebudayaan dan Pelancongan yang dilaporkan oleh The Star.

Nazri diminta mengulas kenyataan Khairy yang menafikan dakwaan bahawa Barisan Nasional kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 kerana penipuan.

Dalam tweet semalam, Khairy berkata: “Kami kehilangan kerana 1MDB (1Malaysia Development Berhad). Tamat.”.

Dalam tweet itu, Khairy menyertakan laporan berita dari akhbar harian berbahasa Inggeris yang mana bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dipetik mengatakan BN kalah kerana “penipuan, fitnah dan janji palsu yang dibuat oleh Pakatan Harapan.”

Laporan itu juga memetik Najib sebagai berkata, tidak ada yang salah dengan UMNO dan Barisan Nasional.

Selepas tweet Khairy disiar, penyokong kuat Najib, Lokman Noor Adam, melancarkan serangan terhadap Khairy.

Lokman mendakwa Khairy harus dipersalahkan kerana UMNO kehilangan kuasa.

Nazri, yang merupakan Ahli Parlimen Padang Rengas berkata, anggota Kabinet sebelum ini dimaklumkan bahawa isu 1MDB boleh diselesaikan.

“Oleh sebab itu kami mempertahankannya. Kami juga tidak mengetahui sehingga masalah itu keluar dalam berita dan menjadi lebih besar di khalayak.

“Kami kehilangan bukan kerana rakyat menolak kami, tetapi kerana 1MDB,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu tidak lagi menjadi isu politik kerana ia telah dibawa ke mahkamah.

“Kita tidak boleh menafikannya,” kata Nazri. – MalaysiaGazette