Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bercakap pada Majlis Santai Bersama Najib Razak di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri berkata, jika Datuk Seri Nazri Aziz dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar hadir sembang santai atau menonton FB livenya kelmarin sudah tentu mereka akan faham apa yang dimaksudkan oleh beliau berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad.

Bagaimanapun, kata Datuk Seri Najib Razak, kedua-dua wakil rakyat UMNO itu memilih untuk tidak hadir dan mengeluarkan pendapat bersandarkan kepada laporan berita yang tidak tepat dan nakal.

“Sudah tentu jika mereka hadir sama-sama atau menonton video FB live, sudah tentu mereka tahu apa yang saya maksudkan tentang propaganda tidak benar dan penipuan dibuat mengenai 1MDB.

‘Saya tak kata 1MDB tidak menjadi faktor kekalahan BN,” kata Najib di laman Facebooknya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nazri yang kini merupakan Setiausaha Agung Barisan Nasional dan juga Ahli Parlimen Rembau itu yang merumuskan kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu adalah berpunca daripada isu 1MDB.

Jangan nafikan kekalahan BN sebab 1MDB – Nazri

Kita kalah kerana 1MDB, kata KJ

Mengulas lanjut, Najib berkata, jika beliau sendiri percaya tiada apa yang salah tentang 1MDB sudah tentu tiada arahan dikeluarkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dianggotai ahli parlimen pembangkang dan kerajaan untuk menyiasat.

Beliau juga katanya, sudah tentu tidak akan mengarahkan PAC menandatangani penyelesaian dengan IPIC bagi mendapatkan semula wang yang dikatakan hilang itu

“Saya tak mahu terjerumus ke dalam permainan menuding jari ini. Tetapi saya percaya setiap seorang daripada kita bertanggungjawab terhadap kekalahan ini.

“Saya ambil tanggungjawab itu dan melepaskan semua jawatan serta tidak bertanding dalam apa apa jawatan parti atau dilantik bagi apa apa jawatan.

“Tak usahlah bimbang tentang kelantangan saya di sosial media atau sokongan untuk sesi sembang santai semalam,” katanya.

Menurut Najib, sebagaimana yang diperjelaskan semalam, beliau hanya hanya berminat untuk memperbetul dan menjelaskan mengenai penipuan yang berleluasa oleh pakatan harapan selama ini dan yang direka selepas jadi kerajaan.

Katanya, beliau juga hanya mahu mengeluarkan fakta, membersihkan namanya, mengkritik dan memberi pendapat apabila saya lihat sesuatu isu berkaitan rakyat dan halatuju negara.

“Berilah ruang untuk saya mencapai matlamat ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan