Kerajaan sedang dalam proses menentukan kaedah paling sesuai untuk mengenal pasti pemilik sah bagi pemegang akaun media sosial di negara ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.
Gobind Singh

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang dalam proses menentukan kaedah paling sesuai untuk mengenal pasti pemilik sah bagi pemegang akaun media sosial di negara ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata mekanisme itu penting bagi memastikan akaun media sosial milik kementerian dan agensi-agensi kerajaan adalah sah dan tidak disalahgunakan.

“Kita sekarang akan melihat kepada satu kaedah (pendekatan) yang mana kita boleh mengesahkan nama-nama yang digunakan di media sosial ini. Rakyat sering melihat kepada akaun-akaun di media sosial berkenaan dan fikir ia adalah laman rasmi kementerian atau agensi tersebut.

“Jadi kita perlu ada mekanisme bagaimana kita boleh mengesahkan agar rakyat tahu maklumat daripada laman mana adalah maklumat rasmi oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis penutup Fiesta Deepavali 2018 di Little India Brickfields, malam ini.

Gobind Singh mengulas pertanyaan pemberita berkenaan penyelesaian kerajaan mengenai akaun tidak sah yang menggunakan nama atau mewakili kementerian dan agensi-agensi berkaitan kerajaan.

Mengulas lanjut, Gobind berkata hal itu sememangnya telah menjadi antara perhatian kerajaan dan pihaknya telah mengenal pasti dua kategori akaun tidak sah di media sosial yang perlu diambil perhatian.

“Ada dua kategori yang sedang dilihat. Satu, ‘handle name’ (pemilik akaun) yang tidak rasmi. Ini menyebabkan ramai pihak yang boleh menggunakannya serta bertindak untuk buat macam-macam perkara.

“Kedua ialah kita (kementerian) dapati terdapat banyak akaun media sosial yang tidak diketahui identitinya telah membuat pelbagai komen dan menjawab perbualan di media sosial dengan guna label atau nama ‘anonymous’,” jelasnya.

Mengakui hal itu bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan medium media sosial amat luas, namun Gobind Singh berkata harus ada kaedah untuk menanganinya dan KKMM akan membuat satu keputusan berkenaan perkara itu dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, Gobind Singh menafikan bahawa cukai dikenakan terhadap perkhidmatan penstriman muzik dan video termasuk perkhidmatan penstriman seperti Netflix sebagai menyekat hak rakyat untuk berhibur.

Cukai dikenakan itu bukan satu sekatan untuk rakyat berhibur tetapi telah dibuat berdasarkan kajian terperinci oleh Kementerian Kewangan, jelasnya.

Semasa pembentangan Belanjawan 2019 pada Jumaat, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan akan mengenakan dan meremit cukai ke atas perkhidmatan dalam talian termasuk perisian, muzik, video atau sebarang pengiklanan digital berkuatkuasa 1 Jan 2020.

–BERNAMA