Kulasegaran
M. Kulasegaran. foto SYAFIQ AMBAK, 13 SEPTEMBER 2018.

2 November 2018

TUAN / PUAN PENGARANG

DENGAN SEGALA HORMATNYA KAMI MERUJUK kepada surat terbuka “Bila YB Kula mahu umum laporan siasatan ‘seleweng RM300 juta’ dana HRDF?”(MalaysiaGazette, Nasional, 30 Okt).

Demi kejelasan dan ketelusan, kami ingin menyampaikan maklumat latar belakang mengenai laporan siasatan Pembangunan Sumber Manusia Berhad, serta menangani kebimbangan tertentu yang dibangkitkan dalam surat di atas oleh
penulis, “Amirul Am, Penyedia Latihan Tertekan”.

Latar Belakang:
Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (KWPSM) ditadbir-urus oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) menerusi Akta PSMB 2001.

Di bawah Akta ini, PSMB diberikan mandat untuk mengutip levi KWPSM daripada majikan berdaftar. Levi KWPSM yang disumbangkan oleh majikan berdaftar hanya boleh digunakan untuk latihan dan pembangunan bertujuan untuk meningkatkan
kemahiran atau/dan memberikan kemahiran baru kepada pekerja tempatan, sejajar dengan aspirasi negara seperti yang dinyatakan di atas.

Buat masa ini, Akta PSMB 2001 merangkumi 63 subsektor yang terdiri dari sektor perkilangan, perkhidmatan, serta perlombongan dan kuari.

Majikan yang telah berdaftar dengan PSMB, yang menggajikan lebih dari sepuluh (10) orang pekerja perlu menyumbang levi bulanan KWPSM bagi setiap pekerja pada kadar satu (1) peratus daripada gaji bulanan pekerja, sementara perniagaan dengan lima (5) hingga sembilan (9) pekerja perlu menyumbang 0.5 peratus daripada gaji bulanan pekerja.

Penjelasan berkenaan hal ini (peruntukan sumbangan levi KWPSM) telah dibuat dalam Laporan Tahunan kami setiap tahun; agar maklumat itu telus dan dapat diakses oleh pihak yang berkepentingan termasuk majikan yang berdaftar dengan
PSMB.

Laporan Siatan PSMB

Latarbelakang

Pada 7 Jun 2018 (Khamis), hampir 600 Penyedia Latihan yang berdaftar dengan PSMB berkumpul untuk sesi “Town Hall” bersama Menteri Sumber Manusia, YB Tuan M. Kula Segaran. Sesi tersebut yang telah diadakan di Pusat Persidangan dan Acara Connexion di The Vertical, Bangsar South, Kuala Lumpur, turut disiarkan secara langsung menerusi media sosial, Facebook..

Hasil dari sesi Town Hall bersama Penyedia Latihan tersebut, PSMB telah membentuk Jawatankuasa Pemantauan Tadbir Urus (Governance Oversight Committee – GOC) pada 28 Jun 2018, sejurus selepas mesyuarat agung tahunan kami.

Jawatankuasa yang dilantik ini diberi mandat untuk membantu Lembaga Pengarah PSMB dan dipertanggungjawabkan untuk mengawas, mengkaji semula semua aspek rangka kerja tadbir urus Lembaga Pengarah, serta memastikan Lembaga Pengarah PSMB berfungsi dengan cekap dan berkesan.

Dakwaan berkenaan Dana RM 300 juta PSMB ingin mengesahkan komitmen kami kepada empat nilai teras kami iaitu Integriti, Fokus Kepada Pelanggan, Penambahbaikan Berterusan, dan
Kebertanggungjawaban. Kami tiada tolak ansur berkenaan amalan rasuah dan kami telah mengambil langkah yang sewajarnya untuk memastikan tadbir urus yang baik, serta komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan Kementerian Sumber Manusia, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia dan pihak-pihak berkuasa berkaitan, untuk meniliti punca utama perkara ini hingga ke akar umbi.

Kami ingin memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa jika siasatan mendapati bukti salah laku, kami akan mematuhi arahan Undang-undang dalam mengambil tindakan segera bagi membetulkan keadaan, untuk memperkukuhkan lagi kepercayaan setiap pihak berkepentingan.

Intipati Laporan Jawatankuasa GOC PSMB akan menganjurkan satu sesi Town Hall dengan Persatuan-persatuan Perwakilan Majikan bersama Menteri Sumber Manusia, YB Tuan M. Kula Segaran pada masa terdekat untuk berkongsi intipati laporan Jawatankuasa GOC yang dirujuk di atas. Sesi tersebut akan turut disiarkan secara langsung melalui laman sosial Facebook.

Jawatankuasa GOC telah menerima kerjasama penuh dari pihak PSMB, dan kami menantikan nasihat jitu Jawatankuasa berkenaan mengenai cara dan kaedah terbaik untuk memperkuatkan tadbir urus, ketelusan dan kebertanggungjawaban PSMB.

Di samping itu, kami akan mengkaji intipati laporan Jawatankuasa GOC dengan teliti, dan melaksanakan kaedah penyelesaian yang dicadangkan dengan cekap dan berkesan untuk memastikan kelancaran operasi pengurusan kami.

Semasa proses peninjauan semula oleh Jawatankuasa GOC, kami telah mengambil tindakan utama berikut:

i. Pelantikan Ketua Eksekutif baru pada 12 Julai 2018 selepas perletakan jawatan secara sukarela oleh mantan Ketua Eksekutif PSMB, Dato’ CM Vignaeswaran Jeyandran;

ii. Peletakan jawatan oleh tujuh (7) ahli Lembaga PSMB terdahulu;

iii. Penggantungan beberapa inisiatif strategik di bawah Dana Terkumpul 30 Peratus pada 12 Jun 2018 (Pekeliling Majikan No.3/2018);

iv. Penstrukturan semula organisasi PSMB yang sedia berlangsung;

v. Penubuhan Jawatankuasa Penilaian Program untuk mengkaji semula program latihan sedia ada; dan

vi. Pemantauan teliti proses pembayaran yang sedia berlangsung.
PSMB akan memastikan bahawa ringkasan intipati Laporan Jawatankuasa GOC dan maklumbalas terhadap kebimbangan/pertanyaan yang dibangkitkan semasa
sesi Town Hall yang akan diadakan pada masa terdekat, akan diterbitkan di laman sesawang www.hrdf.com.my dalam masa tidak lebih daripada tiga puluh (30) hari selepas berlangsungnya Townhall berkenaan.

Sementara itu, geran latihan biasa sedang beroperasi tanpa sebarang masalah. PSMB juga telah mula melaksanakan perlepasan pembayaran kepada Penyedia Latihan dan para jurulatih yang berkaitan daripada Dana Terkumpul 30 peratus mulai bulan Oktober 2018 manakala yang selebihnya dijangka akan menerima peruntukan pembayaran masing-masing mulai November 2018; sejurus tamat penyiasatan teliti
oleh Jawatankuasa GOC.

Untuk maklumat lanjut, sila berhubung dengan Jabatan Komunikasi Korporat kami menerusi emel: [email protected]

Sekian, terima kasih.

Sashikala Devi Gopallan
Pengarah
Jabatan Komunikasi Korporat
Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB).

-MalaysiaGazette

Bila YB Kula mahu umum laporan siasatan ‘seleweng RM300 juta’ dana HRDF?

 

1 Komen

  1. Tak dijawab kenapa laporan GOC lewat 100 hari? Dan bila townhall baru Alan dibuat? Ini macam jawapan cut and paste lah. YB Kula sudah apa jadi?

Tinggalkan Jawapan