KUALA LUMPUR – Walaupun diumumkan menang bagi jawatan Ketua Cabang PKR Kota Kinabalu, Datuk Christina Liew masih tidak berpuas hati dengan keputusan itu berikutan kehilangan lebih 500 undi.

Bercakap kepada media di Kota Kinabalu, petang ini, Pengerusi PKR Sabah itu menyatakan, kehilangan undi berkenaan disebabkan kegagalan sistem e-undi yang berpunca daripada masalah teknikal.

Kemenangan itu menyaksikan Liew mendapat 541 undi, manakala pencabarnya Julian Lai memperoleh 106 undi.

Hanya 1,125 ahli atau 18.6 peratus daripada 6,037 ahli yang layak mengundi menunaikan tanggungjawab hari ini.

“Saya pada mulanya meletakkan sasaran antara 30 hingga 40 peratus daripada jumlah pengundi keluar mengundi, tetapi jumlahnya lebih kecik dari yang dijangkakan.

“Saya tetap gembira dengan kemenangan ini walaupun terkilan kehilangan lebih 500 undi yang sepatutnya berpihak kepada saya akibat masalah sistem e-undi,” katanya yang ditemui media di pusat pengundian Sekolah Menengah (SM) Kian Kok.

Liew bagaimanapun, akan membuat rayuan ke Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) berikutan kehilangan jumlah undi yang agak besar disebabkan oleh masalah teknikal.

Dalam pemilihan itu, penyandang Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kalah kepada pencabarnya, Rafizi Ramli dengan 280 undi. Azmin mendapat 160 undi, manakala Rafizi mendapat 440 undi.

Calon Naib Presiden yang juga penyandang jawatan itu, Nurul Izzah Anwar Ibrahim mendapat undi tertinggi iaitu 498 bagi jawatan itu. – MalaysiaGazette