Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu percaya Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim akan membuat keputusan tepat mengenai desakan yang memintanya melepaskan jawatan.
IPOH – Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu percaya Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim akan membuat keputusan tepat mengenai desakan yang memintanya melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

Ahmad Faizal berkata beliau memahami kekecewaan dan permintaan penyokong pasukan The Bos Gaurus (TBG), namun isu yang melanda Presiden PAFA itu tidak seharusnya membayangi matlamat yang lebih besar.

“Saya tidak mahu komen sama ada beliau (Hasnul Zulkarnain) harus letak jawatan atau tidak, tetapi saya percaya beliau akan mengambil kira semua pandangan dari para penyokong dan akhirnya saya minta semua pihak fikirkan kepentingan bagaimana nak teruskan kejayaan.

“Saya telah berbincang dengan saudara Hasnul dan saya harap beliau akan membuat keputusan yang tepat,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis sambutan Deepavali 2018 anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini hari ini.

Sebelum ini, Hasnul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi negeri telah dikritik hebat para penyokong bola sepak tempatan kerana telah memuat naik gambarnya bersama Piala Malaysia yang diletakkan di celah kangkang.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata perarakan bagi menyambut Piala Malaysia sekali gus meraikan kemenangan pasukan TBG dijangka akan dilakukan pada 11 Nov ini serentak dengan acara larian sempena Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah ke-62 di Kuala Kangsar.

Beliau berkata, pihaknya memohon perkenan Sultan Nazrin bagi mengadakan upacara perarakan itu pada Sabtu ini.

“Trofi Piala Malaysia bagaimanapun belum dipersembahkan kepada tuanku, namun saya telah memohon perkenan daripada tuanku untuk bersama-sama pemain dan berarak dengan trofi Piala Malaysia untuk peminat negeri,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan