Amin Senin
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin

KUALA LUMPUR – Mulai tahun depan, bentuk pentaksiran bagi murid Tahap Satu (tahun satu, dua dan tiga) tertumpu kepada perkembangan pembelajaran dan tidak lagi berorientasikan peperiksaaan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berkata, pentaksiran alternatif dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran melalui aktiviti seperti perbincangan, persembahan, kerja projek, tugasan, amali, pemerhatian, portfolio, pameran dan kuiz.

Menurutnya, pentaksiran ini selaras dengan kaedah Pembelajaran Abad ke-21 yang berteraskan elemen kolaborasi, kreativiti, komunikasi, pemikiran kritikal dan nilai.

Pentaksiran alternatif itu merujuk kepada pelbagai aktiviti selain peperiksaan untuk menilai penguasaan dan mengesan perkembangan pembelajaran murid.

Pentaksiran alternatif itu juga seiring dengan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang merupakan satu daripada komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang fokus kepada perkembangan dan kemenjadian murid secara holistik.

Menerusi pentaksiran itu, guru akan digalakkan untuk mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran seperti pengajaran berbeza dan pengajaran pemulihan mengikut tahap keupayaan murid.

“Hasil pentaksiran boleh membantu guru dan ibu bapa untuk menilai dan menambah baik pembelajaran murid,” katanya.

Amin berkata, pentaksiran alternatif itu boleh mewujudkan budaya pembelajaran yang lebih menyeronokkkan dan bermakna untuk murid berbanding peperiksaan formal.

Katanya, ini membolehkan guru memberikan lebih perhatian kepada penerapan nilai kasih sayang. kegembiraan dan hormat-menghormati dalam memantapkan pembangunan sahsiah dan karakter murid.

“Di samping itu, penglibatan ibu bapa juga adalah penting dalam usaha mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kurang tekanan kepada murid pada peringkat awal usia persekolahan,” katanya.

Amin berkata, pembelajaran pada tahap satu sekolah rendah amat penting sebagai asas untuk murid mengoptimumkan perkembangan dan pertumbuhan mereka pada tahap pembelajaran seterusnya. – MalaysiaGazette