Penyokong bola sepak Perak menggesa Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abd Munaim meletakkan jawatan kerana dianggap telah mencemarkan imej dan keunggulan Piala Malaysia.
Penyokong bola sepak Perak menggesa Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abd Munaim meletakkan jawatan kerana dianggap telah mencemarkan imej dan keunggulan Piala Malaysia.

IPOH – Penyokong bola sepak Perak menggesa Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abd Munaim meletakkan jawatan kerana dianggap telah mencemarkan imej dan keunggulan Piala Malaysia.

Gesaan itu dibuat menerusi satu bantahan beramai-ramai yang diadakan di ‘Memory Lane’ atau pasar karat dan di Stadium Perak di sini, hari ini.

Salah seorang penyokong, Muhammad Khairul Muzzamil Mohd Rudzlan, 33, berkata tindakan Hasnul yang memuat naik beliau bersama piala itu dianggap keterlaluan dan tidak sepatutnya dilakukan selaku pemimpin nombor satu dalam PAFA.

“Beliau tangkap gambar selepas itu muat naik di Facebook, seolah-olah Piala Malaysia itu hak beliau. Paling mengecewakan, sudah hampir seminggu masih lagi tiada sambutan (perarakan piala) kejayaan pasukan,” katanya ketika ditemui pada bantahan mendesak presiden PAFA meletak jawatan yang disertai 200 penyokong di perkarangan Stadium Perak.

Sebelum ini, Hasnul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri dikritik hebat para penyokong bola sepak tempatan kerana memuat naik gambarnya bersama Piala Malaysia yang diletakkan di celah kangkang.

Meskipun telah membuat permohonan maaf secara terbuka 30 Okt lalu, namun ia dilihat sukar diterima rata-rata penyokong, malah tindakan Hasnul tular dan dijadikan bahan lawak di media sosial.

Muhammad Khairul berkata sekiranya Hasnul enggan melepaskan jawatan para penyokong akan menghantar memorandum bantahan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Untuk memajukan persatuan khususnya di Perak, kita tak mahu ahli politik terlibat dalam bidang sukan. Kalau boleh lantiklah seseorang yang tahu tentang sukan tersebut,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penyokong, Mohd Shirin Adnan, 44, berkata, bekas Setiausaha Kehormat Pafa, Ahmad Shahrul Azhar Soffian adalah antara yang layak dilantik menggantikan Hasnul.

Katanya sumbangan dan pengalaman Ahmad Shahrul dalam arena bola sepak Perak dilihat sebagai faktor yang melayakkan beliau mengisi jawatan tersebut.

“Sebagai contoh, Ahmad Shahrul layak dilantik sebagai presiden kerana dia ada pengalaman selaku setiausaha kehormat. Beliau juga tahu pasal bola sepak Perak dan di bawah dia selaku pemain (sebelum ini) Perak berjaya mendakap banyak piala,” katanya.

Perak memenangi Piala Malaysia 2018 pada 27 Okt lalu selepas menewaskan Terengganu 4-1 menerusi penentuan penalti dalam aksi final di Stadium Shah Alam.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan