Lim Guan Eng
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. foto SYAFIQ AMBAK, 04 NOVEMBER 2018

SEMENYIH – Janji kerajaan Pakatan Harapan berhubung bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sukar ditunaikan berikutan kedudukan semasa fiskal negara.

Perkara itu ditegas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang memberitahu, langkah tersebut bertambah sukar apabila ahli perniagaan yang dikaitkan dengan penyelewengan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau Jho Low telah mengambil wang negara sehingga RM50 bilion.

Beliau turut mengakui wujud pelbagai kritikan berhubung isu berkenaan namun, kerajaan diterajui PH tidak mempunyai sebarang pilihan lain.

“Saya terima kritikan ini (kerana kita memang) nak laksanakan (janji untuk menangguhkan bayaran balik PTPTN), cuma (ia sukar dilakukan apabila) melihat kepada kedudukan fiskal negara.

“Apa saja boleh dilakukan kerajaan ketika ini? Kalau Jho Low tidak ambil RM50 bilion, sudah pasti ia boleh dilakukan, tapi apa boleh buat,” katanya.

Guan Eng merujuk kepada ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho yang turut dikaitkan dengan skandal syarikat pelaburan strategik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Guan Eng berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas pelancaran portal pembiayaan rumah, FundMyHome.com di sini, hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, mana-mana peminjam yang berpendapatan RM4,000 ke bawah diberi penangguhan bayaran balik PTPTN.

Bagaimanapun, Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 mengumumkan bahawa peminjam PTPTN yang berpendapatan lebih RM1,000 akan dikenakan potongan gaji berkadar antara dua hingga 15 peratus.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, potongan mengikut kadar pendapatan dan tanggungan itu adalah penyelesaian alternatif yang terpaksa dilaksanakan kerajaan bagi menjamin kelestarian dana PTPTN.

“Sebab itu kita beri pilihan (potongan gaji), iaitu antara dua hingga 15 peratus,” katanya. – MalaysiaGazette