Mahathir
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad beredar selepas membuat lawatan ke rumah FundMyHome pada program FundMyHome di Eco World Gallery @ Eco Majestic, Semenyih, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 04 NOVEMBER 2018

SEMENYIH – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bimbang sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mampu menunaikan janji yang telah dibuat semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau yang mengakui perkara itu berkata, kerisauannya itu adalah terhadap soal penyediaan rumah mampu milik kepada rakyat.

Katanya, PH pernah berjanji untuk membina sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun jika berjaya memerintah negara dan komited untuk menunaikannya.

“Kita boleh janji apa saja,asalkan dapat sokongan, tapi nak tunaikan janji, tidak semudah macam buat janji. Sebab itu bila PH ambil alih kerajaan, wujud kekhuatiran untuk merealisasikan janji ini.

“Kemudian wujud pula masalah lambakan rumah tidak terjual berikutan pelbagai faktor seperti tiada padanan pendapatan antara pembeli dan syarat pembiayaan oleh institut perbankan.

“Sejuta bukan angka kecil untuk rumah, tetapi ini janji kita dan kita akan tunaikan janji untuk bina sejuta rumah dalam jangka masa 10 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran FundMyHome.com di Eco Majestic, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad; Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Pengasas Eco World Development Group Berhad, Tan Sri Rashid Abdul Manaf; Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Global Kumpulan Maybank, Datuk Muzaffar Hisham serta Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan CIMB Bank Berhad, Datuk Kong Sooi Lin.

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenar untuk membuat pelaburan unit hartanah menerusi sistem pemilikan rumah FundMyHome.

Jelas beliau, ia merupakan sistem terbaharu berteraskan teknologi dan inovasi diyakini berupaya meningkatkan kadar pemilikan kediaman dalam kalangan rakyat.

Katanya, ia sekaligus dapat merealisasikan matlamat kerajaan untuk membina sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun.

Ujarnya, pelaburan dalam sektor hartanah tidak pernah menyaksikan sebarang penyusutan kadar pulangan pelaburan, justeru ia antara bentuk penjanaan pendapatan paling dinamik di pasaran ketika ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir mengakui mempunyai tanggapan skeptikal dan sukar mempercayai keberkesanan mekanisme baharu berkenaan, namun bersikap terbuka untuk melihat kejayaan yang bakal diraih kelak.

“Skim ini mampu beri pulangan kepada pelabur menerusi sektor hartanah dalam jangka tertentu apabila mereka menjual pegangan.

“Ia skim yang sangat hebat sampai saya sendiri pun tidak percaya. Mungkin saya akan percaya apabila lihat ia berjaya kelak,” tambah beliau. – MalaysiaGazette