Jamal Khashoggi. foto Reuters

WASHINGTON – Anak-anak lelaki Jamal Khashoggi merayu supaya mayat bapa mereka diserahkan kerana mereka mahu mengebumikan jenazah itu di Arab Saudi.

Dalam wawancara bersama CNN, Salh dan Abdullah Khashoggi berkata, tanpa jenazah bapa mereka, keluarga itu menghadapi beban emosi.

“Ia bukan keadaan biasa, ia bukan kematian biasa sama sekali. Semua apa yang kita mahu sekarang ialah untuk mengebumikannya di Al-Baqi (tanah perkuburan) di Madina (Arab Saudi) bersama seluruh keluarganya,

“Saya membincangkannya dengan pihak berkuasa Arab Saudi dan harap ia akan berlaku tidak lama lagi,” kata Salah.

Khashoggi, kolumnis Washington Post yang kritikal terhadap Kerajaan Arab Saudi dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman dibunuh selepas memasuki bangunan konsulat negara itu di Istanbul pada 2 Oktober lalu.

Arab Saudi telah mengesahkanKhashoggi dibunuh hasil rancangan awal pihak tertentu.

Pegawai Turki dan beberapa penggubal undang-undang Amerika Syarikat mendakwa Putera Mohammed memerintahkan pembunuhan dilakukan tetapi dinafikan oleh Riyadh.

Setakat ini mayat Khashoggi masih belum ditemui.

Pihak berkuasa Arab Saudi yang sudah menahan 15 individu masih menjalankan siasatan.

Jutawan Arab Saudi, Putera Alwaleed bin Talal, seorang ahli perniagaan antarabangsa, berkata, pada hari Ahad bahawa siasatan itu akan melepaskan pemimpin negara itu.

Pada 24 Oktober lalu, Salah telah bertemu dengan Putera Mohammed dan Raja Salman untuk menerima ucapan takziah bersama ahli keluarga Khashoggi yang lain.

Salah berlepas untuk Washington sehari kemudian dan wawancara bersama CNN adalah komen umum pertamanya sejak kematian Khashoggi.

Menurut Salah, Raja Salman memberi jaminan semua pihak yang terlibat dalam pembunuhan Khashoggi akan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Kami hanya mahu memastikan dia dikebumikan dengan sempurna. Sehingga hari ini saya masih tidak percaya beliau dibunuh,” katanya sambil menambah terlalu banyak maklumat salah mengenai kematian bapanya.

Salah memberitahu, dakwaan bahawa bapanya menyokong Ikhwan Muslim adalah tidak benar.

Ditanya bagaimana Khashoggi patut diingati, Salah menjawab, “Dia orang lelaki sederhana yang mempunyai nilai bersama dengan semua orang … seorang lelaki yang mencintai negaranya, yang percaya begitu banyak dan potensinya.

“Jamal tidak pernah menjadi pembangkang. Dia percaya kepada monarki, bahawa ia adalah perkara yang menjaga negara bersama-sama. Dan dia percaya dalam transformasi yang sedang berjalan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan