KUALA LUMPUR – Konsert Dewa 19 Reunion Live In Concert bakal mencipta sejarah apabila dua bekas vokalis kumpulan popular Indonesia itu bergabung di pentas yang sama.

Berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 2 Februari depan, konsert itu menyatukan Ari Lasso dan Once yang sebelum ini pernah menunjangi kekuatan kumpulan asal Surabaya itu.

Wakil penganjur, Nik Iruwan dari Nizar Production berkata, pihaknya teruja apabila gitaris utama yang juga ketua kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani memberikan persetujuan untuk beraksi di negara ini.

“Ia menjadi lebih bermakna apabila Ari Lasso dan Once juga buat kali pertama kembali bergabung di pentas yang sama.

“Kesudian mereka meyakinkan kami konsert ini bakal menempa sejarah yang tersendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ahmad Dhani pula memaklumkan, mereka akan membawakan sekitar 30 lagu popular bermula dari album sulung, Dewa 19 yang dihasilkan pada 1992.

“Kami bersedia untuk kembali menghiburkan peminat di Malaysia kerana mendapat permintaan yang tinggi, terutama peminat setia yang kami gelar Baladewa.

“Kesemua lagu yang bakal dipersembahkan dipetik daripada ratusan katalog hit Dewa 19 bermula album pertama hingga terakhir, Kerajaan Cinta yang dihasilkan sekitar 11 tahun lalu,” katanya.

Tiket akan mula dijual mulai 7 November ini, jam 10 pagi dan pembeli terawal dalam tempoh 48 jam bakal mendapat 10 peratus diskaun.

Dewa 19 ditubuhkan pada 1986 di Surabaya, namun hanya berpeluang merakamkan album pertama pada 1992.

Album itu mencatat sejarah tersendiri apabila Dewa 19 meraih penghargaan BASF bagi kategori Pendatang Baru Terbaik dan Album Terlaris 1993.

Nama kumpulan itu diubah kepada Dewa pada 2000 dengan kemasukan Once sebagai vokalis baharu, namun dia menarik diri pada 2010 untuk memberi fokus kepada projek solo. – MalaysiaGazette