KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menolak dakwaan bahawa pasukan pertahanan itu telah bertindak mengenepikan adat dan budaya.

Bahagian Hal Ehwal Awam ATM berkata, langkah agensi tersebut yang mengeluarkan arahan kepada semua markas perkhidmatan tentera darat, laut dan udara untuk tidak lagi menggunakan seloka pantun dan jenaka oleh juruacara ketika majlis-majlis rasmi ketenteraan adalah bersifat rejimental.

Malah, pelaksanaannya dilakukan secara tertib, penuh dengan adab dan mengikut etika kententeraan.

“Contoh majlis rasmi yang dimaksudkan ialah seperti acara yang melibatkan Yang Di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan pembesar negeri.

“Acara perbarisan, acara rasmi yang dilaksanakan di peringkat ATM dan perkhidmatan TDM, TLDM dan TUDM,” kata Jabatan itu menerusi kenyataan hari ini.

Namun begitu, menurut kenyataan itu lagi, ATM masih memberi kelonggaran untuk penggunaan pantun gurindam, seloka dan seumpamanya di dalam majlis yang tidak bersifat rejimental.

Antara majlis tersebut katanya seperti sambutan ketika majlis melibatkan jamuan bersama anggota keluarga, sukan dan sebagainya.

Terdahulu, tular di laman sosial sejak semalam mengenai surat pekeliling yang bertajuk Larangan Penggunaan Pantun Di Dalam Skrip Juruacara Majlis Rasmi Kententeraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Surat tersebut yang ditandatangan oleh Lt. Jen TUDM, Dato’ Kamalruzaman Mohd Othman bagi pihak Panglima Angkatan Tentera memutuskan tiada lagi penggunaan pantun dalam skrip juruacara bagi setiap majlis rasmi ketenteraan telah mendapat reaksi Bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Menerusi Twitter, Rais melahirkan rasa kesal terhadap perkara tersebut dengan berkata “takkanlah Melayu sudah begitu daif budaya sendiri sehinggakan hendak berpantun pun dihalang”.- MalaysiaGazette

Sasterawan negara, pejuang bahasa tunggu apa lagi? – Rais