Fazzrudin Abdul Rahman
Fazzrudin Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) mengecam Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke yang menuduh rakyat Sarawak tidak sedar diri apabila mempersoalkan peruntukan kecil disediakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada negeri itu dalam Belanjawan 2019.

Timbalan ketuanya, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, sikap pemimpin DAP itu menyalahkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menggambarkan keputusan dan pendirian kerajaan Pusat seolah dilaksanakan dengan perasaan dendam kerana pernah menyokong Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong menjelaskan, seluruh rakyat Sarawak amat kecewa dengan peruntukan begitu kecil sekali diberikan untuk pembangunan negeri itu.

Ini, katanya, menunjukkan dengan jelas pendirian kerajaan Persekutuan terhadap Sarawak, sedangkan mereka mengambil begitu banyak hasil bumi dari negeri itu, sedangkan pembahagiannya dibuat dalam bentuk tidak adil.

“Sebelum ini, Ketua Pembangkang Sarawak dari PH, Chong Chieng Jen begitu lantang bersuara, berjanji akan memastikan 30 peratus belanjawan dari pembangunan akan disalurkan ke Sarawak.

“Kalau dikira, mengikut dakwaan Chieng Jen, kita hanya menerima RM4.35 bilion sahaja daripada RM54.7 bilion untuk pembangunan.

“Saya ingin bertanya kepada Chieng Jen, adakah ini berjumlah 30 peratus seperti yang dilaung-laungkan oleh beliau sebelum ini dan laungan itu tiba-tiba hilang apabila pimpinan DAP pusat memberi amaran dan mengatakan rakyat Sarawak tidak sedar diri,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini.

Semalam, media melaporkan Anthony Loke sebagai berkata, kerajaan Sarawak bawah kepemimpinan GPS perlu sedar diri dan jangan terlalu hebat mengkritik peruntukan RM4.35 bilion disalurkan kerajaan Pusat dalam Belanjawan 2019.

Ia disebabkan kerajaan Sarawak adalah penyokong kuat BN yang menguasai kepemimpinan pusat terdahulu di bawah rejim korup hingga mengakibatkan negara terpaksa menanggung banyak hutang.

Anthony yang juga Menteri Pengangkutan ketika memberi peringatan itu berkata, sokongan tidak berbelah bahagi kerajaan negeri menjadi penyebab negara mengalami kerosakan teruk sehingga jumlah hutang keseluruhan sudah melebihi RM1 trilion.

Fazzrudin kemudian menyindir Chieng Jen yang takut apabila dan tidak berani membantah apabila nada Anthony yang merupakan pemimpin DAP pusat bertentangan dengan banyak kenyataan yang dibuat olehnya sebelum ini.

“Ini secara tidak langsung membuktikan kedudukan Chieng Jen yang mewakili PH Sarawak tidak ‘bertaring’ dan hanya mengikut telunjuk tuan mereka di Semenanjung.

“Saya ingin berpesan kepada Anthony, anda merupakan sebahagian dari kerajaan baharu. Jika anda ikhlas mahu membangunkan Sarawak, peratusan peruntukan yang disalurkan ke Sarawak haruslah memadai dan setara dengan hasil yang telah dikeluarkan dari isi perut bumi Sarawak.

“Pemimpin seperti Anthony ini bersikap berdendam, biadab dan meminggirkan Sarawak dan ia akan menguatkan lagi semangat rakyat Sarawak untuk memastikan hak negeri ini terbela dan tidak sama sekali dikawal oleh orang luar,” katanya.

Beliau berkata, Pemuda PBB menyokong penuh Ketua Menteri Sarawak untuk memulakan langkah bagi memperjuangkan, memperkukuhkan dan membangunkan Sarawak daripada hasil dari bumi sendiri dengan apa juga cara sekalipun. – MalaysiaGazette