Pelabuhan Tanjung Pelepas

KUALA LUMPUR – Eksport Malaysia berkembang 6.7 peratus kepada RM83 bilion dipacu oleh produk elektrik dan elektri (E&E) dan keluaran petroleum.

Pertumbuhan itu disumbangkan dengan peningkatan eksport ke Hong Kong, Taiwan, Singapura Australia dan Korea Selatan.

Jabatan Perangkaan berkata, eksport E&E meningkat RM2.0 bilion (+6.5%) kepada RM32.9 bilion manakala keluaran petroleum bertapis menyumbang 6.8 peratus daripada jumlah eksport, naik RM961.9 juta atau 20.5 peratus kepada RM5.7 bilion.

Petroleum mentah, yang menyumbang 3.2 peratus kepada jumlah eksport meningkat RM950.5 juta kepada RM2.7 bilion disebabkan oleh peningkatan dalam kedua-dua nilai purata seunit (+38.1%) dan volum eksport(+11.9%) dan gas asli cecair, yang menyumbang 3.8 peratus daripada jumlah eksport naik RM54.8 bilion kepada RM3.1 bilion.

Minyak kelapa sawit dan hasil keluaran berasaskan minyak kelapa sawit (6.7 peratus daripada jumlah eksport), menyusut RM720.4 juta (-11.5%) kepada RM5.6 bilion.

Eksport minyak kelapa sawit, komoditi utama dalam kumpulan produk ini jatuh RM563.1 juta atau 14.3 peratus berikutan penurunan dalam nilai purata seunit (-15.5%) walaupun volum eksport meningkat 1.4 peratus.

Kayu dan hasil keluaran kayu,yang menyumbang 2.1 peratus kepada jumlah eksport, merekodkan penurunan marginal berjumlah RM6.7 juta kepada RM1.8 bilion dan getah asli menurun RM6.1 juta atau 1.9 peratus kepada RM306.5 juta disebabkan oleh 15.5 peratus kejatuhan dalam nilai purata seunit walaupun volum eksport meningkat 16.0 peratus.

Menurut jabatan itu, berasaskan tahun ke tahun, import merosot RM1.9 bilion kepada RM67.8 bilion kerana semua kategori utama import mengikut klasifikasi pengguna akhir.

Barangan pengantara yang merangkumi 52.8 peratus daripada jumlah import merosot RM3.7 bilion (-9.3%) kepada RM35.8 bilion.

Bagaimanapun, bekalan industri, diproses mencatatkan peningkatan sebanyak RM1.1 bilion.

Import barangan modal, yang mencakupi 10.7 peratus daripada jumlah import, menyusut RM2.5 bilion kepada RM7.3 bilion disebabkan oleh penyusutan dalam kedua-dua kelengkapan pengangkutan, perindustrian (-RM1.3 bilion) dan barangan modal (kecuali alat kelengkapan pengangkutan) (-RM1.1 bilion).

Katanya, import barangan penggunaan yang menyumbang 7.6% daripada jumlah import merekodkan penurunan sebanyak RM573.8juta (-10.0%) kepada RM5.2 bilion.

Berasaskan bulan ke bulan, import menurun RM12.4 bilion atau 15.5 peratus daripada RM80.2 bilion. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan