Anthony
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap pada sidang media berhubung pengumuman Bajet 2019 berkaitan Pas Perjalanan Tanpa Had di Pejabat Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 05 NOVEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan tidak akan melayan apa-apa permintaan yang mempunyai unsur-unsur ugutan.

Mengulas mengenai kenyataan Pengarah Big Blue Taxi Facilities, Datuk Shamsubahrin Ismail yang merancang untuk mengadakan perhimpunan di Padang Merbuk sebelum berarak ke Parlimen Khamis ini sekiranya Anthony enggan bertemu dengan mereka menyelesaikan kemelut pemandu teksi dan pengusaha e-hailing.

“Saya tidak akan melayan mana-mana permintaan jika ada unsur-unsur ugutan. Janganlah ugut kita.

“Saya rasa ini bukan adab rakyat Malaysia,” katanya semasa sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

Menurut Anthony, beliau sentiasa membuka peluang kepada semua persatuan dan pengusaha teksi untuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan.

Malah, beliau telah menugaskan setiausaha politiknya untuk mengadakan pertemuan dengan persatuan-persatuan teksi.

“Satu-satunya tugas utama setiausaha politik saya adalah untuk berhubung dan berbincang dengan persatuan-persatuan teksi.

“Memang banyak perbincangan yang kami telah lakukan dan (Big Blue Capital) bukan satu-satunya persatuan teksi yang ada,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

Pemandu teksi lancar demo Khamis ini