Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menyerahkan Anugerah Khas OKU (Kategori Usahawan) kepada Haziqah Nurul Huda Harun pada Majlis Perasmian Penutup Persidangan Melestari Kesejahteraan Kanak-kanak, Orang Kurang Upaya (OKU) dan Warga Emas sempena Hari Kanak-kanak, OKU dan Warga Emas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 05 NOVEMBER 2018
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menyerahkan Anugerah Khas OKU (Kategori Usahawan) kepada Haziqah Nurul Huda Harun pada Majlis Perasmian Penutup Persidangan Melestari Kesejahteraan Kanak-kanak, Orang Kurang Upaya (OKU) dan Warga Emas sempena Hari Kanak-kanak, OKU dan Warga Emas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 05 NOVEMBER 2018

PUTRAJAYA – Isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang ingin dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) belum dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat Kabinet.

Demikian kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika ditanya berkenaan kemarahan dan ketidakpuasan pihak tertentu selepas PH menyuarakan hasrat untuk menandatanganinya baru-baru ini.

“Belum lagi kita bincang secara terperinci dalam kabinet,” katanya tapi enggan mengulas lanjut.

Terdahulu pelbagai pihak tidak berpuas hati terhadap cadangan untuk meratifikasi ICERD selepas ia disuarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waythamoorthy baru-baru ini.

Antara yang menentangnya ialah Pas dan UMNO berpendapat ICERD akan membawa pelbagai implikasi negatif kepada keadaan demografi rakyat negara ini, di samping memberi ancaman kepada institusi Raja Berperlembagaan.

Perkara itu juga mengakibatkan penganjuran himpunan sebagai simbolik kepada bantahan diadakan dengan kerjasama kedua-dua parti itu termasuklah NGO-NGO Islam yang turut menentangnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui tidak mudah untuk meratifikasi ICERD ekoran Malaysia mempunyai rakyat pelbagai kaum.

Justeru beliau memberi jaminan perbincangan dan rundingan akan dijalankan semua kaum terlebih dahulu sebelum kerajaan menandatanganinya.

Mengikut ICERD, negara yang meratifikasinya hendaklah menghapuskan segala bentuk diskriminasi bangsa dan kaum (racial diskrimination). Negara tersebut tidak boleh langsung ada undang-undang yang mendiskriminasi mana-mana kaum dan bangsa.

Dalam pada itu, Wan Azizah selaku Presiden PKR mahu siasatan dijalankan terhadap dakwaan calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli diserang ketika proses pemilihan Cabang Keningau dua hari yang lalu.

“Kita mahu siasatan dilakukan,” katanya tanpa mengulas lanjut.-MalaysiaGazette