Peguam Sarah Abishegam yang mewakili Muhammad Shafee memberitahu pemberita bahawa pihaknya menfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi minggu lepas kerana ia adalah bidang kuasa Mahkamah Tinggi untuk memindahkan kes anak guamnya yang didakwa di Mahkamah Sesyen.
Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan pelepasan sementara dokumen perjalanan Muhammad Shafee, 66, itu selepas peguamnya Wan Aizuddin Wan Mohammed memaklumkan tertuduh perlu ke Tawau, Sabah, untuk mengendalikan satu kes jenayah di Mahkamah Tinggi Tawau.
KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang berhadapan dengan dua tuduhan pengubahan wang haram dan dua tuduhan membuat suatu penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), untuk mendapatkan sementara pasportnya yang diserahkan kepada mahkamah.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan pelepasan sementara dokumen perjalanan Muhammad Shafee, 66, itu selepas peguamnya Wan Aizuddin Wan Mohammed memaklumkan tertuduh perlu ke Tawau, Sabah, untuk mengendalikan satu kes jenayah di Mahkamah Tinggi Tawau.

“Pihak kami telah memohon untuk pelepasan sementara pasport (sebelum ini). Beliau (Muhammad Shafee) perlu mengendalikan kes di Sabah dan perlu mendapatkan visa pekerjaan,” katanya pada prosiding pengurusan kes yang tidak dihadiri Muhammad Shafee.

Wan Aizuddin memohon pelepasan pasport itu berkuatkuasa hari ini sehingga kes tersebut selesai pada Januari tahun hadapan.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan peguam itu.

Hakim Collin membenarkan pelepasan sementara pasport itu bermula hari ini sehingga 17 Januari 2019 dan memerintahkan tertuduh mengembalikan semula pasportnya kepada mahkamah selepas tarikh tersebut.

Sementara itu di luar bilik bicara, Wan Aizuddin menjelaskan kepada pemberita bahawa sebagai peguam dari Semenanjung Malaysia yang mahu mengendalikan kes di Sabah, beliau perlu mendapatkan satu visa pekerjaan dari Jabatan Imigresen Sabah dan semua proses dokumentasi tersebut memerlukan pasport.

Pada 13 Sept lepas, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan melibatkan diri dengan pengubahan wang haram iaitu dengan menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib Abd Razak yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku dekat sini pada 13 Sept 2013 dan 17 Feb 2014.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada akitiviti haram iaitu dengan membuat suatu penyata tidak betul kepada LHDN yang bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

Bagi pertuduhan itu, Muhammad Shafee didakwa meninggalkan pendapatan yang telah diterima pada 13 Sept, 2013 berjumlah RM4.3 juta dan pendapatan yang diterima pada 17 Feb 2014 berjumlah RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib Hj Abd Razak yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh, yang mana tertuduh dikehendaki oleh Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk membuat penyata bagi pihak tertuduh.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA