Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Kamal Shukri Abdullah Sani
Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Kamal Shukri Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu digesa agar menarik balik arahan larangan penggunaan pantun di dalam skrip juruacara Majlis Rasmi Ketenteraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Kamal Shukri Abdullah Sani berkata, pimpinan ATM sepatutnya menyedari pantun antara warisan budaya Melayu tertua yang mempunyai nilai estetika yang tinggi.

Menurutnya, pelbagai mesej dapat disampaikan melalui pantun termasuk semangat juang yang tinggi, mempertahankan negara dan menyuntik keberanian.

“Tiada negara lain di dunia yang mewarisi puisi pantun yang tinggi nilai estetika kecuali negara ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kamal Shukri berkata, perkara itu sememangnya tidak berlaku kepada tentera Amerika Syarikat (AS) atau Britain kerana kedua-dua negara itu tiada pantun dalam warisan budayanya.

“Banyak lagi yang perlu dibuat oleh pimpinan tentera untuk memperkukuh pertahanan negara berbanding usaha membuang pantun dalam majlisnya.

“Di samping kegagahan pasukan tentera, mereka juga perlu suntikan jati diri sebagai tentera Malaysia, bukan tentera AS atau Britain walaupun mungkin turut menjalani latihan di sana bagi mendalami ilmu ketenteraan,” ujarnya.

Tegas beliau, pantun mempunyai pelbagai jenis yang pastinya bukan bersifat romantis atau berbentuk mendayu-dayu sebaliknya, juruacara perlu bijak memilih pantun bersesuaian dengan majlis.

“Tidak mungkin pantun ‘kisah peperangan’ dibaca dalam majlis makan malam atau pantun mendayu dibaca dalam majlis tamat latihan tentera,” tambah beliau.

Sepucuk surat pekeliling arahan larangan penggunaan pantun di dalam skrip juruacara majlis rasmi kententeraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tular di laman sosial sejak semalam.

Surat pekeliling itu telah mendapat reaksi bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim yang melahirkan kekesalannya terhadap perkara tersebut.

Rais turut menyifatkan Melayu begitu daif budaya sendiri sehinggakan berpantun pun kini cuba dihalang. – MalaysiaGazette

ATM nafi ketepikan adat, budaya

Sasterawan negara, pejuang bahasa tunggu apa lagi? – Rais

Tinggalkan Jawapan