LRT
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- MRCB George Kent Sdn Bhd (MRCB-GK) menerima surat pelantikan daripada Prasarana Malaysia Bhd membabitkan cadangan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) dari Bandar Utama ke Johan Setia dengan kontrak harga tetap sebanyak RM11.856 bilion.

Rakan Pelaksana Projek yang terdiri daripada Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) George Kent (Malaysia) Bhd (MRCB-GK) dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, berkata kontrak itu merangkumi cadangan reka bentuk, pembinaan, penyiapan, pengujian dan pentauliahan projek.

Jumlah kontrak projek termasuk kontigensi/sementara sebanyak RM400 juta, jika tidak digunakan akan mengurangkan nilai kontrak terbabit.

Bagaimanapun, rundingan mengenai kontrak harga tetap itu akan berterusan bagi membenarkan kontrak itu dilaksanakan selewat-lewatnya pada 12 Disember 2018.

Projek itu dijangka siap pada 28 Februari 2024, melainkan jika mendapat lanjutan yang selaras dengan kontrak berkenaan.

MRCB-GK juga perlu menyediakan bon prestasi bagi jumlah setara sebanyak lima peratus daripada jumlah kontrak dalam tempoh 30 hari dari tarikh mereka menerima surat tawaran lantikan pada 2 November 2018.

Sementara itu, MRCB dan George Kent perlu menyediakan Jaminan Korporat Bersekadar kepada Prasarana.

MRCB-GK berkata, projek itu tidak akan memberi apa-apa kesan ketara kepada keuntungan dan aset bersih kumpulan MRCB dan George Kent bagi tahun kewangan berakhir, masing-masing pada 31 Disember 2018 dan 31 Januari 2019.

Bagaimanapun, ia dijangka akan menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kedua-dua kumpulan.

“Projek berkenaan adalah tertakluk kepada risiko perniagaan biasa seperti peningkatan kos yang disebabkan oleh kos bahan dan terma kontrak.

“Oleh itu, pihak pengurusan akan melaksanakan langkah-langkah kawalan dan prosedur-prosedur operasi bagi mengurangkan kesan jika senario itu berlaku,” katanya.

Kontrak harga tetap itu adalah satu pengurangan kos yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada Julai lalu, yang mana kabinet meluluskan projek LRT 3 tetapi pada harga yang lebih rendah iaitu sebanyak RM16.63 bilion atau pengurangan 47 peratus.

Unjuran kos projek LRT 3 yang dikemukakan oleh Prasarana pada Mac dahulu, adalah RM31.65 bilion.

— BERNAMA