Tan Sri Musa Aman (tengah) bersama penyokongnya di mahkamah baru-baru ini.

KUALA LUMPUR- Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mengaku tidak bersalah atas 35 pertuduhan rasuah yang dihadapkan keatas dirinya.

Beliau yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini ekoran pertuduhan salah laku rasuah terhadap meluluskan konsesi balak di Sabah.

Musa Aman yang diwakili dua peguamnya, Amer Hamzah Arshad and Ridha Abdah Subri mohon dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Bagi dua pertuduhan pertama, Musa Aman dituduh menerima suapan wang sejumlah
US$131,578.00 dan US$921,052.00 daripada Lim Nyuk Foh pada 20 Disember 2004 di Hong Kong memberikan kontrak konsesi balak Sabah kepada Syarikat Bountiful Returns Sdn. Bhd.

Pada 17 Februari 2005, beliau turut dituduh menerima suapan wang sejumlah US$263,000.00 daripada Lim Nyuk Foh memberikan kontrak konsesi balak Sabah kepada Syarikat Bountiful Returns Sdn. Bhd.

Pertuduhan keempat, beliau dituduh menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan wang sejumlah US$1,295,336.00 daripada Looh Chai Boo wang sejumlah US$388,601.00 untuk pertuduhan kelima.

Kesemua 35 pertuduhan itu melibatkan 16 syarikat yang dibuat bermula 2004 hingga 2008.

Antara syarikat terlibat ialah,Syarikat Bountiful Returns Sdn. Bhd,Syarikat Segar Tepat Sdn Bhd, Syarikat J.V. Lestari Sdn. Bhd,Syarikat Sabapioneer Sdn. Bhd.,Syarikat Tamabina Sdn. Bhd,Syarikat Danagaya Sdn. Bhd,Syarikat LR Enterprise Sdn. Bhd.,Syarikat Lembah Mayang Sdn. Bhd, Syarikat Fast Progress Sdn. Bhd.

Turut terlibat ialah Syarikat Maju Sinar Network Sdn. Bhd,Syarikat Eden Region Sdn. Bhd, Syarikat Gasing Selatan Sdn. Bhd,Syarikat Innokinta Sdn. Bhd,Syarikat Tetap Simfoni Sdn. Bhd,Syarikat Asiatic Lumber Industries Sdn. Bhd dan Syarikat Eramewa Sdn. Bhd.

Hakim, Rozina Ayob membenarkan ikat jamin sebanyak RM2 juta dan bayaran hari diselesaikan secara berperingkat bermula RM1 juta hari ini dan baki RM1 juta lagi, Rabu depan.

“Sebutan semula kes adalah pada 13 Disember depan.

“Membenarkan tertuduh membuat penjelasan wang cagaran secara RM1 juga dan hari Rabu baki RM1 juta lagi dengan syarat tertuduh masih berada di Semenanjung sehingga Rabu,” katanya ketika membuat keputusan.

Musa Aman didakwa mengikut subseksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 [Akta 575].

Malah beliau turut boleh
dihukum di bawah seksyen 16 Akta yang sama.

Kesemua pertuduhan itu dilakukan beliau di Singapura dan Hong Kong ketika beliau menjawat jawatan Ketua Menteri Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu menjadi Ketua Menteri Sabah pada 2003 sehingga Mei 2018 lalu.

Kesemua pertuduhan itu melibatkan sejumlah RM230 juta atau USD63 juta ekoran daripada kebenaran kontrak konsesi balak Sabah kepada beberapa syarikat balak.

Sekiranya didapati bersalah, Musa Aman boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette