Musa Aman
Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mempersoalkan 35 pertuduhan yang dikemukakan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap beliau, hari ini.

Menurutnya, kes ini sudah diselesaikan pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Nazri Aziz sudah menjelaskan perkara itu kepada kerajaan di Parlimen.

“Saya tidak tahu kenapa kes ini dibuka semula. Ia telah diselesaikan sebelum ini.

“Kenapa buka dan dakwa saya semula. Kes ini telah diselesaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz di Parlimen,” katanya di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini.

Pada Oktober 2012, Jabatan Peguam Negara memutuskan bahawa elemen perbuatan rasuah tidak dibuktikan dalam dakwaan rasuah melibatkan Musa Aman, selepas mengambil kira keterangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia dinyatakan Nazri dalam jawapan bertulis kepada soalan Tian Chua (PKR-Batu) di Dewan Rakyat pada 2012.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu dituduh dengan 35 pertuduhan rasuah dalam meluluskan konsesi balak di Sabah.

Dalam pada itu, Musa Aman berkata beliau akan mempertahankan dirinya daripada kesemua pertuduhan tersebut.

Tiada kes terhadap saya, tapi sekarang saya kena hadapi kes ini semula.

“Saya tidak pasti ia berunsurkan politik atau apa,” katanya.

Sebelum itu, Musa Aman meninggalkan perkarangan mahkamah jam 4.30 petang tadi setelah selesai membayar wang jaminan berjumlah RM1 juta di Kompleks Mahkamah Jalan Duta sebagaimana diarahkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Wang pembayaran pertama itu dibayar dua penjamin, yang mana salah seorangnya adalah anak saudara beliau.

Musa Aman diperintahkan membayar wang ikat jamin sebanyak RM2 juta atas 35 pertuduhan rasuah melibatkan konsesi balak.

Hakim, Rozina Ayob berkata, sejumlah RM1 juta harus diselesai hari ini dan bakinya harus diselesaikan Rabu depan.

Bekas ketua menteri Sabah itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Singapura dan Hong Kong, membabitkan transaksi AS$28,500 hingga AS$16,148,547 yang keseluruhannya berjumlah RM263 juta.

Dia dituduh di bawah Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997, sebelum Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikuatkuasakan pada 2009 dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dinaik taraf menjadi suruhanjaya. – MalaysiaGazette