Pengundi-pengundi New Caledonia memilih untuk terus bersama Perancis selepas undian dijalankan semalam. foto ABC News

PARIS – Pengundi-pengundi di New Caledonia telah menolak untuk menjadi sebuah wilayah bebas.

Undian yang dijalankan menunjukkan 56.4 peratus mahu wilayah Pasifik Perancis itu kekal menjadi sebahagian Perancis manakala 43.6 peratus menyokong.

Sebanyak 81 peratus pengundi keluar mengundi.

Undian itu dijalankan bagi menunaikan janji yang dibuat pada tahun 1988 bagi mengakhiri kempen keganasan bagi memperoleh kemerdekaan untuk wilayah tersebut.

Presiden Emmanuel Macron berkata, keputusan undi itu membuktikan penduduk-penduduk New Caledonia yakin dengan Republik Perancis.

“Saya harus menyatakan kepada anda betapa bangganya saya bahawa kita akhirnya telah merekodkan sejarah bersama,” katanya.

Referendum itu berakhir dengan aman, meskipun ada berlaku tangkapan selepas pengundian ditutup.

New Caledonia memiliki sumber nikel – komponen utama dalam penghasilan barangan elektronik – menjadi aset rantau ekonomi dan politik yang strategik bagi Perancis.

Wilayah itu menerima sejumlah 1.3 bilion euro setiap tahun daripada Kerajaan Perancis. – MalaysiaGazette