Pasukan penyelamat mengumpul serpihan pesawat Lion Air 610 yang terhempas di perairan Indonesia, Isnin lalu. foto Agensi

JAKARTA – Pesawat Boeing, B737 MAX yang terhempas menyebabkan kesemua 189 orang terbunuh pada minggu lalu mengalami kerosakan petunjuk kelajuan dalam empat penerbangan terakhirnya, kata Jawatankuasa Keselamatan Pengankutan Nasional (KNKT).

Ketua KNKT, Soerjanto Tjahjono memberitahu para wartawan, kerosakan tersebut didedahkan selepas data yang dimuat turun daripada perakam data penerbangan, sambil menambah pihaknya telah bertanya kepada Boeing dan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) langkah bagi mengelakkan masalah serupa berulang pada jenis pesawat yang sama di seluruh dunia.

“Kami sedang merumus dengan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional AS (NTSB) dan Boeing, memperincikan pemeriksaan petunjuk kelajuan,” katanya seperti dipetik Reuters.

Tidak jelas samada masalah tersebut berpunca daripada isu mekanikal ataupun penyelenggaraan, begitu juga samada pihak berkuasa AS akan mengarahkan sebarang pemeriksaan.

“Kami tidak tahu di mana masalahnya, apa yang telah diperbaiki, apa buku rujukan digunakan, komponen apa yang telah dikeluarkan,” kata Ketua Sub Jawatankuasa KNKT untuk kemalangan udara, Nurcahyo Utomo.

“Terdapat perkara yang kami cuba fahami: apa yang rosak dan bagaimana ia diperbetulkan,”.

Para pakar keselamatan berkata, adalah terlalu awal untuk menentukan punca kemalangan pesawat Lion Air pada Isnin minggu lalu yang dalam penerbangan dari Jakarta ke Pangkal Pinang.

Pihak berkuasa masih belum menemui perakam suara kokpit di dasar laut, timur laut Jakarta di mana pesawat itu terhempas 13 minit selepas berlepas.

Boeing enggan mengulas. Pembuat pesawat AS itu telah menghantar 219 buah pesawat B737 MAX kepada pelanggannya di seluruh dunia, menurut laman sesawang Boeing dan ia telah menerima tempahan 4,564 pesawat jenis itu yang perlu dihantar kepada pelanggan.

Kemalangan pesawat Lion Air itu merupakan yang pertama membabitkan pesawat B737 MAX. – Agensi

Tinggalkan Jawapan