Bekas pegawai PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi), Xavier Andre Justo (kanan) meninggalkan Yayasan Kepimpinan Perdana selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2018.
Bekas pegawai PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi), Xavier Andre Justo (kanan) meninggalkan Yayasan Kepimpinan Perdana selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2018.

JOHOR BAHRU – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) belum mengambil sebarang kenyataan daripada pemberi maklumat warga Switzerland, Xavier Andre Justo, berhubung dia dipaksa membuat pengakuan terbuka bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah seorang yang baik.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya, bagaimanapun, tidak menolak kemungkinan dan mempertimbangkan untuk mengambil keterangan daripada Justo sekiranya perlu berbuat demikian.

“Kita tidak ada ambil apa-apa kenyataan daripada beliau (Justo) dalam masa terdekat ini. Kita (polis) hendak ambil kenyataan, kita mestilah berdasarkan laporan yang dibuat kecuali kita akan tengok daripada laporan lama.

“Tetapi kalau ada perkara (perkembangan) baru… kita akan pertimbangkan (mengambil keterangan),” katanya yang ditemui pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Johor kepada 580 penerima di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata sekiranya mahu mengambil kenyataan daripada Justo, pihaknya perlu membuat temu janji mengikut kesesuaian masa dan persetujuan bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd itu.

Khamis lepas, Mohamad Fuzi dilaporkan berkata PDRM akan meneliti semua dakwaan Justo yang mengaku pernah dipaksa untuk membuat pengakuan secara terbuka bahawa Najib adalah Perdana Menteri terbaik.

Menurut Mohamad Fuzi, beliau sedia maklum perkara itu dan memaklumkan ia mungkin ada kaitan dengan kenyataan yang diambil ketika Justo berada di Bangkok, tiga tahun lepas.

Pada 22 Jun, 2015, Justo ditahan di rumahnya di Koh Samui, Thailand, selepas pegawai PetroSaudi memfailkan aduan bahawa Justo cuba memeras ugut syarikat itu sebanyak 2.5 juta Swiss francs (RM11 juta) dengan dokumen yang dicuri daripada syarikat berkenaan.

Pada Rabu lepas, Justo dilapor memaklumkan ada pihak berkuasa Malaysia datang bertemunya sebelum ini di Bangkok dan antara mereka ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.

Katanya, dia terpaksa ‘mengaku’ bahawa dirinya mencuri serta memanipulasi data dan bekerja dengan seorang ahli politik pembangkang Malaysia dengan bantuan seorang wartawan selain perjanjian PetroSaudi-1MDB adalah sah dan adil, dan Mr Razak itu (Datuk Seri Najib Tun Razak) seorang yang baik.

Amar Singh pula dilaporkan berkata polis tidak pernah meminta Justo berbuat demikian, dan tidak ada pun dalam kenyataan Justo, yang dalam simpanan polis, menunjukkan bahawa Justo bercakap seperti apa yang didakwanya.

— BERNAMA