Pengurus Besar Qicheng Derui Group Ltd, He Yi Feng bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Kilang ke-33 Qicheng Derui Group Limited (Qicheng) di Ning Guangsu, Xi'an, China. foto HAZROL ZAINAL, 28 OKTOBER 2018.

Gansu, XI’AN – Rasa manis, isi tebal dan tekstur yang lembut menyebabkan durian Musang King menjadi kegilaan para penggemarnya di China.

Tidak hairanlah raja buah itu semakin mendapat pasaran yang baik dari negara tersebut.

Menyedari sambutan hangat dan keterujaan rakyat China terhadap durian Musang King, United Maex Sdn. Bhd. tidak ragu-ragu untuk meneroka peluang pertanian itu.

United Maex adalah sekutu syarikat Qicheng Derui Group Ltd. yang terlibat dalam menghasilkan bahan binaan kediaman prafabrikasi di China.

United Maex sudah pun memajak tanah seluas 1,300 ekar di Bentong, Pahang, 4,000 ekar di Gua Musang dan 1,00 ekar di Kampung Bako, Sarawak.

Manakala, 300 ekar lagi tanah bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Rawang, Selangor.

MGF28102018_PELANCARAN KILANG QICHENG18
He Yi Feng

Pengasas United Maex, He Yi Feng berkata, syarikat itu memberi fokus kepada tanaman Musang King kerana rasanya sungguh sedap.

“Durian Musang King dari Malaysia mempunyai rasa yang sungguh sempurna dan berpotensi dipasarkan pada harga yang tinggi,” katanya dalam wawancara baru-baru ini.

Menurutnya, disebabkan syarikat itu mempunyai pelan jangka panjang yang serius dalam pertanian durian, ia akan bekerjasama dengan sebuah Universiti Pingtong, Taiwan dalam R&D.

Beliau berkata, universiti itu adalah pusat pengajian tinggi yang popular menghasilkan R&D bagi pertanian – demi memastikan pelaburan Qicheng berbaloi.

“Memandangkan ini adalah pelaburan pertama dalam bidang pertanian, kami sangat serius dengannya,” ujar beliau lagi sambil memaklumkan syarikat itu masih mengintai peluang untuk mendapatkan tanah lagi bagi dijadikan ladang durian.

MalaysiaGazette difahamkan harga durian Musang King yang berkualiti terbaik mencecah lebih 820 yuan (RM500) di China.

Malah, harga durian bergred tinggi dari Thailand pun berharga 375 yuan (RM225) sebiji.

Yi Feng percaya dengan fokus yang diberikan terhadap pelaburan itu, syarikat berkenaan mampu mengeksport hasil Musang King ke China dalam tempoh lima hingga tujuh tahun lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan