Sawarak state election government assembly Abang Johari Tun Openg.
Abang Johari Tun Openg

KUCHING – Sarawak akan meneruskan belanjawan yang tertumpu kepada pembangunan imbal dan luar bandar bagi merancakkan perkembangan ekonomi daripada jumlah peruntukan belanjawan RM11.914 bilion bagi 2019, yang terbesar dalam sejarah negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, daripada keseluruhan peruntukan belanjawan berjumlah RM9.073 bilion ia termasuk dana Persekutuan berjumlah RM0.260 bilion, dicadangkan untuk perbelanjaan pembangunan dan RM2.841 juta untuk perbelanjaan operasi.

Abang Johari, yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi, berkata, dengan mengambil kira anggaran hasil berjumlah RM10,513 juta dan jumlah cadangan perbelanjaan biasa RM10.391 bilion, peruntukan belanjawan 2019 dijangka mengalami lebihan RM122 juta.

“Negeri ini akan meneruskan dasar perluasan fiskal dengan enam strategi utama dan melihat kepada aliran hasil utama yang baru, termasuk lima peratus cukai jualan produk petroleum mulai 1 Jan,” katanya semasa membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan (2019) pada sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata, perbelanjaan pembangunan tahun hadapan dijangka mengambil kira projek mempunyai kesan yang tinggi dan kepentingan rakyat terutama di kawasan luar bandar, komitmen untuk menyiapkan projek yang sedang berjalan dan keutamaan kepada perbelanjaan yang dikendalikan oleh Kerajaan Persekutuan bagi rasionalkan kedudukan fiskalnya.

“Bagi 2019, sejumlah RM9.073 bilion dicadangkan untuk membiayai pelbagai program dan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 termasuk inisiatif sosio-ekonomi dan transformasi luar bandar, projek dan inisiatif di bawah Ekonomi Digital,” kata Abang Johari.

Daripada jumlah peruntukan bagi perbelanjaan pembangunan, beliau berkata RM8.813 bilion akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri manakala RM260 juta oleh Kerajaan Persekutuan menerusi pengembalian pinjaman dan bantuan.

Beliau mengulangi bahawa levi cukai jualan ke atas produk petroleum – minyak mentah, gas asli, gas cecair asli, baja kimia dan produk gas hingga cecair – adalah hak Kerajaan Negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengenai Belanjawan Persekutuan 2019, beliau berkata peruntukan bagi Sarawak berjumlah RM4.346 bilion hanyalah 7.94 peratus daripada jumlah keseluruhan belanjawan pembangunan berbanding RM4.336 pada 2018.

“Belanjawan Persekutuan 2019, tidak mencerminkan peruntukan yang adil dan saksama kepada Sarawak, meskipun janji oleh Pakatan Harapan negeri ini bagi memastikan Sarawak dan Sabah akan mendapat 30 peratus daripada peruntukan Persekutuan,” tambah beliau.

Bagi 2018, peruntukan berjumlah RM8.2 bilion diumumkan bagi belanjawan negeri ini, merangkumi RM5.745 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM2.4816 untuk perbelanjaan operasi. – MalaysiaGazette