Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 akan bermula pada 13 November hingga 13 Disember ini.

Seramai 421,706 orang calon telah mendaftar menduduki peperiksaan itu pada tahun ini.

Kementerian Pendidikan berkata, sebanyak 3,308 pusat peperiksaan dibuka seluruh negara dengan 33, 361 petugas dilantik sepanjang peperiksaan itu.

Daripada jumlah itu seramai 362,754 orang adalah calon dari Sekolah Kebangsaan, Bantuan Kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, sekolah di bawah Agensi Kerajaan selain Kementerian Pendidikan (9,427), Sekolah menengah agama neger i (8,160), sekolah menengah agama rakyat (2,059) dan sekolah swasta berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (14,001) dan sekolah persendirian (25,305).

Lembaga peperiksaan mengingatkan semua calon agar merujuk jadual waktu peperiksaan untuk maklumat masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan tersebut.

Calon juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan masing-masing ke pusat pemeriksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar. – MalaysiaGazette