Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Ibrahim Ali meminta semua pihak menghentikan membuat sebarang spekulasi kononnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan terus memegang jawatan Perdana Menteri untuk tempoh satu penggal.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) berkata, Mahatir telah membuat penegasan akan menyerahkan jawatan itu kepada penggantinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim  selepas cukup dua tahun dari tarikh Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan Persekutuan.

“Mahathir telah membuat penegasan bahawa beliau tetap akan menyerah jawatan kepada Anwar setelah cukup dua tahun.

“Penegasan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ini amat terpuji dan tidak ada apa yang lebih mulia pada setiap individu apabila menunaikan janji yang telah dipersetujui dan diketahui umum,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Ibrahim mengulas usul yang diluluskan PPBM Kawasan Setiawangsa yang menggesa  Mahathir terus menjadi Perdana Menteri sehingga cukup satu penggal, iaitu lima tahun.

Katanya, susulan dari penegasan Perdana Menteri itu, semua pihak wajar berhenti daripada membuat spekulasi dan pelbagai cerita kononnya Mahathir tidak melepaskan jawatan nombor satu negara itu kepada Anwar.

Malah, ujar beliau, ada juga yang nakal mengatakan Dr Mahathir akan melakukan apa sahaja secara halus, dan kononnya tidak nampak perbuatan itu adalah tindakannya untuk menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri kelapan.

“Cerita ini terus dipertuturkan dari desa ke bandar, dari warung kopi, surau, masjid, malah di stesen pengangkutan awam LRT, bas atau teksi.

“Di mana-mana sahaja dan ramai mengatakan Anwar tidak akan menjadi Perdana Menteri. Tetapi, saya secara peribadi mempunyai firasat menyakini bahawa Mahathir akan mengotakan janjinya.

Ibrahim bagaimanapun, berkata, jika peristiwa 1998 berulang, ia membawa kesan buruk kepada kestabilan politik negara dan rakyat akan berpecah terutama di kalangan penyokong tegar Anwar.

“Semua pihak mesti memainkan peranan dan memastikan pisang tidak berbuah dua kali. Jangan gajah sama gajah berlaga semut semua terpijak. Kemudian rakyat dipersalahkan.

“Bercakaplah para pemimpin, rakyat makin berpecah belah, apatah lagi orang Melayu, tapi sedar atau tidak yang memecahbelahkan rakyat adalah pemimpin yang selalu berkata kita jangan berpecah belah, tapi diri sendiri sentiasa tidak puas hati dan cukup dengan apa yang ada. Ianya pelik tapi benar.

“Saya pernah terlibat dan menyaksi pertembungan rebut kuasa yang akhir sekali ahli parti atau rakyat menjadi mangsa. Tukang kipas, tukang cucuk dan batu api semua bersorak kerana mereka dapat cari makan kerana masing-masing ada peranan pada ketua,” ujarnya.

Beliau meminta pemimpin mengutamakan kehidupan rakyat yang diberi janji dengan penuh harapan.

Katanya, Mahathir yang sudah lanjut usia perlu masa untuk berehat dan lebih beribadat.

“Saya kira tambahan enam bulan lagi dari dua tahun yang dijanjikan tidak perlu. Anwar pun sudah melebihi 70 tahun dan memerlukan masa apabila menjadi Perdana Menteri untuk membuktikan kepimpinannya berkesan.

“Saya yakin Mahathir akan menepati janjinya demi harga dirinya sendiri sebagai seorang pemimpin yang buat sebagaimana cakap. Sama-samalah kita tunggu dan lihat,” katanya. – MalaysiaGazette