KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Sarawak hari ini mengisytiharkan Nanga Belansai di Sengaih, Julau sebagai lokasi terkini jangkitan rabies.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam satu kenyataan memaklumkan kawasan berkenaan adalah lokasi ke-47 penularan rabies sejak wabak itu mula dikesan tahun lalu.

Keseluruhannya, jangkitan wabak itu sehingga kini menyebabkan 12 kematian sejak kes pertama dikesan pada 30 Jun tahun lalu.

Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri menyatakan langkah pencegahan sewajarnya sudah dilaksanakan oleh agensi berkaitan bagi membendung penularan wabak berkenaan.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar tidak membiarkan anjing peliharaan mereka lepas bebas atau sewenang-wenangnya membawa keluar anjing dari lokasi diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan tanpa kebenaran Jabatan Veterinar Sarawak.

Kegagalan mematuhi arahan itu boleh menyebabkan mereka didenda RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga bulan atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 37 (2) & (3) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan