Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik diri dari mempertahankan jawatannya dalam Pemilihan Muktamar Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS).

Menurut Setiausaha Politiknya, Syahir Sulaiman, selepas tempoh pencalonan ditutup pada jam 9 malam (waktu Turki), semalam, Abdul Hadi membuat keputusan untuk tidak mengisi dan menyerahkan borang pencalonan kepada jawatankuasa KUIS.

Katanya, hasrat itu telah dinyatakan oleh Abdul Hadi sebelum berangkat ke Turki, dan telah disampaikan kepada beberapa pimpinan tertinggi KUIS.

“Keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan keterbatasan komitmen dan kesihatan, namun beliau bersedia untuk terus menyumbang idea dan pandangan untuk kebaikan KUIS,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Agenda pemilihan akan berlangsung esok dan keputusan rasmi dijangka diumumkan sebelum majlis penutup 8 November ini. – MalaysiaGazette