BELANJAWAN 2019 buat julung-julung kalinya telah dibentangkan oleh kerajaan Pakatan
Harapan pada minggu yang lalu.

Ia sekali gus mencatatkan sejarah apabila belanjawan pada kali ini diumumkan oleh kerajaan yang baharu setelah lebih 60 tahun Kerajaan Barisan Nasional memerintah.

Secara keseluruhannya, Belanjawan 2019 yang diumumkan sama sekali tidak menceriakan golongan belia di negara ini. Ia boleh disifatkan satu bajet yang berat sebelah dan penganiayaan kepada golongan belia. Sepanjang pengumuman belanjawan di Parlimen tempoh hari, boleh dikira dengan jari berapa kali Menteri Kewangan, Lim Guan
Eng menyeru golongan belia dalam dewan tersebut.

Sedangkan golongan belia pada hari ini merupakan satu aset penting yang perlu dibimbing dan dijaga bagi menjadi penyumbang utama kepada kemajuan negara pada masa hadapan. Tetapi selepas pengumuman bajet tempoh hari, nampaknya golongan belia seakan-akan dipinggirkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Bukankah dahulu kerajaan Pakatan Harapan sendiri yang mengatakan bahawa golongan belia ini perlu dibantu untuk memulakan kehidupan berdikari? Kononnya, kerajaan dahulu terlalu mengabaikan golongan ini dan mereka (kerajaan Pakatan Harapan) ingin mengalas tanggung jawab untuk membela golongan ini.

Persoalannya terbelakah nasib golongan ini di tangan kerajaan Pakatan Harapan?

Boleh dikatakan, Belanjawan 2019 antara yang dinanti-nantikan oleh golongan belia. Malangnya, pengumuman minggu lalu ternyata memberi harapan palsu dan tamparan yang hebat buat golongan belia.

Apa tidaknya, peluang pekerjaan yang dijanjikan oleh kerajaan Pakatan Harapan sebanyak 1 juta langsung tidak disebut sampai ke akhir ucapan bajet 2019. Mana perginya janji yang kononnya ingin memperuntukan sebanyak RM1 bilion setiap
tahun bagi tujuan memperkasakan golongan belia melalui Dana Pemerkasaan dan Keusahawanan Anak Muda? Bukan RM1 bilion sahaja yang tidak nampak, ini dengan bayang-bayang semua hilang.

Sepatutnya sebagai sebuah kerajaan, mereka harus lebih peka dengan permasalahan peluang pekerjaan pada hari ini. Malah jika mereka serius pastinya akan diterjemahkan dalam Belanjawan 2019 melalui peruntukan tertentu tetapi sebaliknya yang jadi.

Masih terbelakah golongan belia?

Sudahlah dengan keadaan peluang pekerjaan yang meruncingkan tambah lagi dengan keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat menyebabkan kehidupan golongan belia semakin tersepit dan terbeban.

Dan kini, kerajaan Pakatan Harapan pula mengumumkan pembayaran balik PTPTN secara potongan gaji antara 2% hingga 15% daripada pendapatan bulanan peminjam yang melebihi RM1,000.

Mana perginya janji penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN untuk peminjam berpendapatan RM4,000 ke bawah? Ini sekali gus bermakna semua peminjam PTPTN tidak ada seorang pun akan dikecualikan dari pembayaran balik PTPTN memandangkan gaji minimum telah ditetapkan sebanyak RM1,100.

Nampaknya, sudah jelas golongan belia hanya semata-mata menjadi ‘umpan’ kepada kaki pancing undi pada pilihan raya yang lalu. Mana tidaknya, semasa jadi pembangkang lagi sudah dimomok-momokkan untuk mansuhkan PTPTN. Apabila sudah hampir pilihan raya dijanjikan pula untuk menangguhkan bayaran balik sehingga gaji mencecah RM4,000.
Tetapi bila sudah menang lain pula jadinya, janji tinggal janji sahaja.

Benar, hutang perlu dibayar tetapi ini bukan soal bayar atau tidak bayar. Ini soal janji yang ditaburkan kepada golongan belia. Golongan ini sudah melaksanakan tanggung jawab sebaiknya pada bulan Mei yang lalu, tetapi inikah balasan yang diberikan oleh kerajaan Pakatan Harapan? Tidak ubah seperti habis madu, sepah dibuang!

Masih terbelakah golongan belia?

Selepas satu persatu keistimewaan dipinggirkan sekali lagi golongan belia terus dipinggirkan apabila Bantuan Sara Hidup Rakyat bagi golongan belia juga langsung tidak diberikan sama sekali.

Mungkin golongan belia yang sudah mempunyai kerjaya yang baik tidak peduli akan bantuan seperti ini. Tetapi cuba bayangkan para graduan yang masih tercari-cari kerja tetap hingga ke hari ini pastinya mereka memerlukan bantuan sebegini rupa untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Pokok pangkalnya, jika kerajaan Pakatan Harapan benar-benar ikhlas untuk memartabatkan golongan belia, mereka akan berusaha sebaiknya untuk melaksanakan belanjawan yang adil dan sama rata dengan golongan yang lain.

Dan tidak menjadikan kekangan kewangan sebagai alasan utama untuk mengurangkan peruntukan bagi golongan belia.

Kesimpulannya, hasrat golongan belia yang menginginkan Belanjawan 2019 menjadi platform untuk mengotakan janji di dalam manifesto sama sekali tidak tercapai.

Dhia Hani
Persatuan Pemikir Muda Johor