Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Pencabar tunggal jawatan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yakin dapat menyaingi rapat jumlah undi yang diperolehi penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berikutan tiga lagi cabang di Sabah belum membuat pengiraan undi.

Dalam kenyataan yang dimuatnaik menerusi akaun Facebooknya hari ini, beliau berkata, keputusan pemilihan di Sabah hujung minggu lalu tidak termasuk keputusan di cabang Pensiangan, Keningau dan Tawau yang ditangguhkan.

Katanya, pemilihan di Keningau tergendala apabila calon kartel (Pemangku Ketua Cabang) memilih satu dewan kecil di sebelah rumahnya yang hanya boleh memuatkan 20 orang pada satu-satu masa.

“Kawasan itu juga tidak mempunyai liputan telefon, apatah lagi internet. Tujuannya jelas iaitu untuk menghalang pengundi calon lawan yang menyokong saya daripada mengundi.

“Sabtu lepas, dianggarkan lebih dari 1,000 orang pengundi saya tidak dibenarkan mengundi di Keningau.

“Keadaan yang sama berulang di Pensiangan. Sejak dari jam 8 pagi lagi, kehadiran telah mencecah ribuan dan menjelang tengah hari, resit keanggotaan yang dikeluarkan (lengkap dengan nombor keanggotaan) telah mencecah sekitar 5,000 orang,” katanya.

Malangnya, kata beliau, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) hanya menyediakan dua mesin kod QR kepada calon Raymond Ahuar yang membawa 5,000 pengundi dan dua lagi kepada lawannya yang hanya membawa sekitar 200 pengundi.

Akibatnya, ujar Rafizi, proses pengundian menjadi terlalu perlahan.

“Sekitar jam 12 tengah hari, liputan internet Celcom hilang. Semakan dengan Celcom menunjukkan talian gentian di stesen mereka di situ telah dipotong. Kes ini kini menjadi kes polis.

“Sekali lagi proses undian di Pensiangan tergendala. Akibatnya, menjelang jam 5 petang, ada sekitar 3,000 pengundi yang berada dalam kawasan dewan mengundi, tetapi beratur berasak-asak untuk masuk mengundi.

“Akibatnya, pengundian di Pensiangan juga tidak dapat diteruskan seperti yang berlaku di Keningau sehari sebelum itu,” katanya.

Menurut Rafizi, kedua-dua cabang itu dianggarkan boleh memberi margin kemenangan mencecah 3,000 undi kepadanya jika pengundian dibenarkan berjalan baik dan tidak disabotaj dengan pelbagai masalah.

Beliau turut mendakwa dewan tempat mengundi tidak ubah seperti reban ayam, selain tidak ada internet, mesin kod QR dan tablet yang tidak mencukupi.

“Sebab itu, saya memohon supaya pendokong #Reformasi20Tahun yang telah berusaha sebaik mungkin setakat ini untuk tidak gundah gulana walaupun digembar-gemburkan seolah kita telah kalah di Sabah.

“Sebenarnya, keputusan rasmi setakat ini, saingan kita hanya mendahului di Sabah dengan kelebihan undi 1,611 sahaja, tetapi kelebihan undi ini tidak termasuk cabang utama kita iaitu Pensiangan dan Keningau,” katanya.

Jelas Rafizi, kehadiran pengundi di Pensiangan dan Keningau pada hujung minggu lalu menunjukkan kemampuan pasukan beliau telah menggerakkan sekurang-kurangnya 4,000 orang di kedua-dua cabang berkenaan.

Oleh itu, beliau menyeru supaya JPP dengan segera mengumumkan pengundian di cabang yang keputusannya digantung seperti Pensiangan, Keningau dan Tawau.

Beliau juga mengingatkan JPP supaya tidak lagi mengulangi kesilapan yang berlaku minggu lagu, iaitu memilih tempat mengundi tanpa talian telefon dan terlalu kecil yang tidak masuk akal dengan jumlah pengundi yang ramai.

Selain itu, ujarnya, JPP juga tidak menyediakan mesin kod QR dan tablet yang mencukupi, sedangkan jawatankuasa itu tahu cabang seperti Pensiangan sentiasa mengeluarkan ribuan anggota setiap pemilihan.

“Saya yakin cabang-cabang di Sarawak akan memberi saingan yang baik dan membantu #Reformasi20Tahun untuk merapatkan jurang.

“Saya menyeru supaya tiada tangan ghaib yang cuba menekan cabang-cabang besar yang bersama dengan #Reformasi20Tahun seperti Cabang Julau.

“Kita hanya ketinggalan kira-kira 2,600 undi setelah 185 cabang mengundi di seluruh negara,” ujarnya.

Rafizi berkata, dengan undi dari Pensiangan, Keningau, Julau dan cabang lain, beliau yakin berupaya menamatkan musim pemilihan kali ini dengan bergaya, asalkan JPP melaksanakan tugasnya dengan memastikan pengundian di cabang yang besar itu berjalan lancar. – MalaysiaGazette