Datuk Darell Leiking.
Darell Leiking

KUALA LUMPUR- Malaysia mencadangkan kepada Jepun supaya menawarkan terbitan bon Samurai dalam denominasi ringgit bagi mengelakkan ketidaktentuan tukaran matawang asing.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata, beliau yang dalam lawatan kerja ke China ketika ini akan mengadakan lawatan singkat ke Jepun berhubung penerbitan bon Samurai.

“Saya akan mengadakan lawatan kerja singkat ke Jepun berhubung penerbitan bon Samurai daripada kerajaan Jepun sejajat dengan lawatan rasmi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke negara tersebut.

“Malaysia telah mencadangkan kepada Jepun supaya bon tersebut ditawarkan dalam denominasi ringgit bagi mengelakkan ketidaktentuan tukaran matawang asing.

“Saya mempunyai hubungan baik dengan rakan sejawat di Jepun, Hiroshege Seko selepas mengadakan misi perdagangan dan pelaburan ke Malaysia baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Kerajaan semasa membentangkan Belanjawan 2019 Jumaat lepas mengumumkan penerbitan bon Samurai bertempoh 10 tahun dengan nilai 200 bilion yen (RM7.4 bilion).

Cadangan penerbitan bon yang mendapat jaminan kerajaan Jepun itu menerima pelbagai reaksi dalam kalangan penganalisis ekonomi tempatan yang bimbangkan Malaysia terpaksa menanggung kadar faedah yang lebih tinggi sekiranya nilai yen meningkat pada masa akan datang. – MalaysiaGazette

Bon Samurai bukti keyakinan antarabangsa terhadap kepimpinan Tun M

Bon Samurai kurangkan risiko pinjaman dalam mata wang asing

Dr Mahathir, Abe bincang butiran bon Samurai Selasa ini