Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakan sejawatannya dari Jepun, Shinzo Abe dan kerajaannya membantu meringankan masalah kewangan Malaysia.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakan sejawatannya dari Jepun, Shinzo Abe dan kerajaannya membantu meringankan masalah kewangan Malaysia.

TOKYO – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakan sejawatannya dari Jepun, Shinzo Abe dan kerajaannya membantu meringankan masalah kewangan Malaysia.

Dr Mahathir yang kini dalam lawatan kerja tiga hari ke negara itu bermula semalam, turut menghargai sikap positif Abe serta kerajaan yang prihatin terhadap kekangan kewangan Malaysia dengan mengambil tindakan sewajarnya.

“Perdana Menteri Abe turut memberi jaminan mengenai kesediaan Jepun untuk menimbang permintaan Malaysia sekiranya kita berhasrat mendapatkan bantuan negara itu pada masa depan,” katanya pada sidang media bersama dengan Abe, di sini, hari ini.

Kerajaan Malaysia telah merakamkan penghargaan kepada kerajaan Jepun bagi tawaran jaminan penerbitan bon Samurai sehingga 200 bilion yen (RM7.4 bilion) pada tempoh 10 tahun.

Pada pembentangan Belanjawan 2019 Jumaat lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata tawaran itu dibuat berikutan keyakinan kerajaan Jepun terhadap pentadbiran dan kepimpinan Dr Mahathir.

Penerbitan bon dalam denominasi yen itu, akan dijamin oleh Japan Bank of International Cooperation pada kadar kupon indikatif 0.65 peratus dan dijangka diterbitkan sebelum Mac tahun depan.

Dalam reaksi segera susulan pembentangan belanjawan itu, Dr Mahathir berkata bon berkenaan akan digunakan untuk melunaskan beberapa pinjaman besar yang diambil kerajaan terdahulu.

Dr Mahathir kini dalam hari kedua lawatan ketiga beliau selepas menjadi perdana menteri Malaysia bagi kali kedua susulan Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei.

Lawatan pertama beliau adalah pada Jun dan kedua pada Ogos lepas.

Sementara itu, Abe berkata pinjaman kredit yen itu berkemungkinan boleh dilaksanakan dengan tumpuan terhadap aspek pengangkutan, pendidikan dan pembangunan modal insan.

Malah, sebagai susulan, sekumpulan pakar daripada syarikat rel Jepun akan ke Malaysia pada akhir bulan ini bagi meneliti objektif berkaitan.

Menurutnya, ini penting kerana rangkaian pengangkutan yang komprehensif sememangnya diperlukan, terutama membabitkan pengangkutan penumpang serta kargo.

“Saya maklumkan kepada Dr Mahathir bahawa Jepun akan melakukan kajian dengan kemungkinan untuk melanjutkan pinjaman yen membabitkan tumpuan ke atas pengangkutan, pendidikan dan pembangunan modal insan.

“Saya berharap kajian ini (pada akhirnya) akan disusuli dengan kerjasama konkrit di masa depan,” katanya.

Malaysia telah menyuarakan hasrat untuk mendapatkan pinjaman yen itu sewaktu pertemuan pertama Dr Mahathir dengan Abe pada Jun lepas dalam usaha menangani hutang kerajaan.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan