KUALA LUMPUR – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menubuhkan Portal i-Insentif di bawah Bahagian Pejabat Penyeragaman dan Penyelarasan Insentif (ICCO).

Platform ini akan memberi manfaat dalam membantu inisiatif penilaian semula ini memandangkan portal tersebut merupakan pusat sehenti yang menampilkan maklumat mengenai semua insentif yang ada di negara ini.

“Kami dengan sukacitanya ingin berkongsi maklumat daripada ICCO dan bekerjasama dengan semua agensi kerajaan dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk penilaian semula ini,” menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Mahmud.

Menurut beliau, penubuhan portal itu mencerminkan komitmen Malaysia dalam memastikan persekitaran perniagaan yang kondusif untuk pelabur-pelabur tempatan dan asing di sebalik cabaran global.

Katanya, MIDA juga menyambut baik kajian holistik untuk menilai semula 130 insentif pelaburan sedia ada di bawah ruang lingkup 32 Agensi Promosi Pelaburan.

Ia seiring dengan advokasi berterusan MIDA untuk insentif yang disasarkan, berasaskan masa dan relevan dengan kemajuan dalam teknologi dan inovasi, selain memastikan penggunaan optimum sumber negara.

Bagi sektor pembuatan, syarikat perlu mengambil kesempatan daripada semakan semula mekanisme cukai dan insentif, inisiatif untuk menggalakkan penggunaan Industri 4.0, kemudahan untuk pengeluaran plastik mesra alam berdasarkan bio-resin dan bio-polymer, insentif untuk PKS serta fasilitasi aktiviti logistik dan pengangkutan.

MIDA telah menggalakkan penggunaan Industri 4.0 di kalangan pemain industri kerana ia akan memberi lonjakan yang diperlukan untuk meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat dunia.

“Salah satu kemudahan yang disediakan MIDA ialah Elaun Modal Automasi (ACA) yang bertujuan untuk menggalakkan penggunaan segera automasi, terutamanya dalam industri berintensifkan buruh.

“Kami juga mengalakkan kolaborasi industri-akademik dan aktiviti R&D yang lebih tinggi aktiviti untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti.

“Dengan tumpuan meluas kepada Industri 4.0 dalam Bajet 2019 dan pelancaran Pelan Tindakan Dasar Industri 4.0 yang dikenali sebagai Industry4WRD, kami menjangkakan lebih banyak pelaburan berteknologi tinggi akan direalisasikan di Malaysia,” tambah beliau.

Di bawah Dana Impak Tinggi MIDA, iaitu Dana Strategik Pelaburan Domestik (DISF) dalam bentuk geran padanan bagi menggalakkan lebih banyak aktiviti R&D, pensijilan antarabangsa dan piawaian serta pemodenan kemudahan dan peralatan.

Setakat ini, MIDA telah meluluskan 308 projek dengan pelaburan sebanyak RM14.7 bilion, dengan nilai geran yang diluluskan sebanyak RM1.51 bilion.

“Kami juga percaya potongan cukai berganda bagi perbelanjaan yang berkaitan dengan Skim Latihan Dual 2 Nasional untuk Industri 4.0 dan program berkaitan lain yang diluluskan oleh MIDA akan mendorong lebih banyak syarikat untuk melatih atau menaik taraf tenaga kerja mereka dalam aktiviti Industri 4.0,” tambah Azman. – MalaysiaGazette