KUALA LUMUR – Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) komited  memberi tumpuan kepada pembangunan bidang pendidikan dan modal insan terutama golongan berpendapatan rendah bagi memastikan mereka terus diberi peluang saksama untuk menambah baik dan meningkatkan taraf hidup mereka.

Yayasan itu menerima sejumlah RM210 juta dalam Belanjawan 2019, mensasarkan generasi muda menerusi program Peneraju Tunas, Peneraju Skil dan Peneraju Profesional.

Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju, Raja Azura Raja Mahayuddin berkata, yayasan itu akan menggandakan usaha untuk mempertingkatkan skil, pengetahuan, iltizam dan daya saing mereka untuk mencipta kejayaan dan menikmati masa depan yang lebih cerah.

Menurutnya, sepanjang 6 tahun lalu, lebih 22,000 rakyat negara ini telah menerima manfaat daripada Yayasan Peneraju menerusi program pembangunan dan kemudahan pembiayaan merangkumi bidang pendidikan, latihan TVET dan pensijilan profesional.

Tinjauan setengah tahun RMK11 menyaksikan beberapa kejayaan utama Yayasan Peneraju, antaranya:

  • 90.6% pelatih di bawah Program Peneraju Skil Iltizam berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh 6 bulan selepas mendapat sijil;
  • 83.3% daripada 1,644 pelatih Peneraju Skil Iltizam berjaya meraih pendapatan bulanan minimum RM1,500 dalam jangkamasa setahun bekerja, melebihi sasaran 70% pelatih yang mendapat gaji minimum;
  • 50.7% daripada 672 pelatih Peneraju Skil mendapat gaji minimum RM3,800 dalam jangkamasa setahun bekerja walaupun masih belum berjaya mencapai sasaran 70% pelatih yang mendapat gaji minimum.

Kejayaan lain Yayasan Peneraju lain termasuk:

  • 89% kadar lulus keseluruhan bagi 2,498 pelatih di bawah Program Peneraju Profesional, melebihi sasaran 65% bagi kadar lulus;
  • Setakat ini, seramai 7 pelatih di bawah Program Peneraju Profesional menerima anugerah global Association of Chartered Certified Accountants (ACCA);
  • 21 pelatih menerima anugerah global Certified Accounting Technician (CAT) manakala 20 pelatih menerima kelayakan Chartered Financial Analysts (CFA).

Raja Azura menyeru generasi muda merebut lebih 7,000 peluang baharu yang akan ditawarkan pada tahun depan.

Ia termasuk pensijilan dalam bidang berkaitan teknologi, program-program akreditasi profesional untuk perakaunan dan kewangan, program baharu yang dikenali sebagai “Khaira Ummah” dan tidak ketinggalan Super High Income
Programme (SHIP) untuk meningkatkan bilangan Bumiputera yang mampu meraih pendapatan sehingga RM20,000 sebulan dalam bidang terpilih. – MalaysiaGazette